Dua wanita tidak mengaku salah bergaduh - Utusan Malaysia

Dua wanita tidak mengaku salah bergaduh

HANIS Faliana Mohd. Rosli (depan) dan Siti Hajar Mohd. Sukri (belakang) yang mengaku tidak bersalah mencederakan satu sama lain dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja salon dan peniaga dalam talian dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini secara berasingan kerana mencederakan satu sama lain, dua bulan lalu.

Pekerja salon, Siti Hajar Mohd. Sukri, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan, Siti Hajar didakwa telah menyebabkan cedera parah ke atas peniaga dalam talian, Hanis Faliana Mohd. Rosli, 23, sehingga patah hidung.

Pekerja salon itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kafe di Jalan Kamaruddin dekat sini sekitar pukul 2.30 pagi pada 29 Julai lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK).

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Hanis Faliana didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi dan waktu yang sama.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Najwa Mohd. Ali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN