PETALING JAYA: Kos percutian yang lebih murah mendorong lokasi-lokasi menarik di Thailand menjadi `sasaran’ rakyat Malaysia walaupun terpaksa berasak-asak di pintu sempadan untuk memasuki negara berkenaan.
Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI) Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, rata-rata produk pelancongan termasuk hotel, lokasi peranginan sehingga menu makanan yang ditawarkan di Thailand berada dalam kategori `mampu bayar’ oleh pelancong Malaysia.
“Malah peniaga dan pihak berkuasa negara gajah putih itu pandai mengambil kesempatan dengan menambah baik setiap produk pelancongan yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini semalam melaporkan , 57,003 individu dikesan melalui dua pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kedah untuk ke negara jiran sejak Khamis lalu.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, menjangkakan jumlah tersebut dijangka terus meningkat susulan cuti sekolah serta cuti Hari Malaysia.
Berhubung destinasi pelancongan di Malaysia, Shazida berkata, Sabah yang mempunyai pulau-pulau menarik umpamanya, penduduk berpendapatan sederhana di semenanjung kurang mampu ke situ kerana perlu mengambil kira kos penerbangan sekeluarga.
“Jadi untuk bercuti bagi kumpulan sederhana ini selatan Thailand pilihan terbaik kerana mereka mampu bayar.
“Tawaran harga di Thailand adalah jauh lebih murah, misalnya kita dapat menginap di hotel bertaraf empat bintang di negara tersebut yang mungkin di Malaysia hanya mampu sekadar dua atau tiga bintang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata ,kedudukan ekonomi rakyat semakin baik dengan angka pengangguran yang kekal rendah menunjukkan ramai sudah bekerja dan menerima pendapatan tetap.
Katanya, faktor itu membolehkan rakyat Malaysia melancong di dalam dan di luar negara sempena cuti sekolah serta cuti umum yang panjang minggu ini.
Menurut beliau, dari segi nilai ringgit juga kian mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan beberapa mata wang asing yang lain termasuk Thai Baht turut menyumbang kepada kestabilan ekonomi.
“Oleh itu, peningkatan mata wang ringgit mendorong peningkatan kuasa beli rakyat yang mana membolehkan mereka memilih melancong sama ada dalam atau ke luar negara.
“Peningkatan individu negara ini pergi ke negara lain terutama pada waktu cuti sekolah sekarang tidak menjejaskan industri pelancongan domestik berikutan turut disokong kemasukan lebih banyak pelancong asing,” kata beliau. – UTUSAN











