Counter Setting: Imigresen tukar ketua, penyelia di KLIA

Counter Setting: Jabatan Imigresen tukar ketua, penyelia dan pegawai di KLIA

AZAM Baki menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket ‘counter setting’ pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, Rabu lallu. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan pertukaran pusingan kerja kedua dengan menukar ketua, penyelia dan pegawai imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu merupakan reformasi proses kerja yang melibatkan enam langkah pertama bagi menutup modus operandi ‘counter setting’ di pintu masuk negara itu.

“Pusingan kerja untuk ketua, penyelia dan pegawai itu akan dilaksanakan dengan segera untuk pegawai yang telah berkhidmat lebih daripada tiga tahun.

“Pegawai-pegawai berkaitan telah dikenal pasti dan arahan pertukaran akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan operasi harian di KLIA tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, langkah kedua, Prosedur Operasi Standard (SOP) meliputi aspek pengurusan kawalan keselamatan pintu masuk, pengurusan cap keselamatan dan pengurusan pemeriksaan pelawat akan disemak dan ditambah baik.

“Langkah itu perlu bagi menutup ruang dan peluang bagi pegawai memanipulasi dan mengambil kesempatan di atas ruang-ruang yang ada,” jelasnya.

Katanya, JIM juga meningkatkan penyeliaan dan pemantauan termasuk pemeriksaan mengejut ke atas ketua-ketua kumpulan dan pegawai bagi memastikan pematuhan arahan yang berkuat kuasa yang akan dilaksanakan secara berterusan oleh pegawai integriti dan penyelia.

“Keempat, menambah baik sistem bagi membolehkan pemantauan dibuat ke atas transaksi yang dilakukan secara harian bagi mengesan transaksi-transaksi yang mencurigakan.

“Kelima, mempercepatkan proses pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi dengan visual dan audio di lokasi-lokasi strategik bagi pemantauan berterusan di bilik kawalan,” katanya.

Shamsul berkata, langkah keenam JIM akan meningkatkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan lain-lain agensi dari masa ke semasa.

Menurut beliau, KDN dan JIM sangat serius dalam membasmi kegiatan ‘counter setting’ dan tidak akan melindungi mana-mana yang terlibat dalam salah laku.

Rabu lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan sejumlah RM766,693 wang tunai ditemui dalam bagasi dan di bawah katil bilik tidur pegawai imigresen yang terbabit dalam sindiket ‘counter setting’.

Menurut Azam, selain RM518,250 dalam bagasi di bilik tidur pegawai wanita imigresen Gred KP22 di kediamannya di Pahang, SPRM turut menemui wang tunai RM248,443 yang disimpan di bawah katil bilik utama pegawai imigresen lelaki Gred KP19 di rumahnya di Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN