KUANTAN: Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat jika wujud unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam isu pencerobohan tanah milik kerajaan negeri.
Presidennya, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, campur tangan SPRM perlu kerana seolah-olah ada pihak yang bekerjasama dengan penceroboh sehingga kegiatan itu terlepas pandang dan berterusan berlaku.
“Kegiatan pencerobohan tanah kerajaan negeri bukan sahaja semakin berleluasa, malah ada yang berani menceroboh menggunakan jentera berat selain mengeluarkan kos yang tinggi.
“Kita dapati sekarang masih ada pihak yang berani menceroboh tanah kerajaan negeri secara haram, ini mungkin disebabkan aspek penguatkuasaan yang masih lemah.
“Pihak berkuasa seharusnya membuat sistem pemantauan yang konkrit dengan turut melibatkan orang ramai sebagai mata dan telinga. Jika benar pemantauan sering dilakukan, kejadian yang sama tidak seharusnya berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Haslihelmy berkata, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah pun memberikan peringatan supaya pihak berkuasa negeri ini menangani isu pencerobohan tanah secara haram dengan tegas dan bersepadu bagi mengelakkan kerugian besar hasil kepada kerajaan.
Menurutnya, kerajaan negeri juga sudah menyatakan pendirian tegas berhubung perkara itu apabila tiada lagi kompaun dikenakan sebaliknya terus mendakwa pesalah.
“Sebaliknya apa berlaku, ketegasan itu seperti tidak diendahkan oleh pihak berkuasa di negeri ini apabila pencerobohan tanah-tanah kerajaan tetap berlaku dan seolah-olah dibiarkan berlaku,” katanya. – UTUSAN










