Bekalan baja tiada, 1,000 pesawah Sekinchan resah

Bekalan baja tiada, 1,000 pesawah Sekinchan resah

PESAWAH menunjukkan lot padi yang belum menerima semburan baja di Kampung Sungai Leman, Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Lebih 1,000 pesawah di Sungai Leman, Sekinchan di sini, resah kerana tanaman padi di Blok L1 hingga L20 belum menerima bekalan baja.

Ia susulan kira-kira 1,920 hektar tanaman yang terlibat dalam skim baja rintis itu berdepan faktor kelewatan sedangkan pokok padi ditanam secara berperingkat sejak bulan lalu.

Pesawah, Mohamad Asri Badron, 64, berkata, keadaan itu membimbangkan mereka yang terlibat dalam skim musim kedua tanaman tahun ini.

Katanya, sawah itu antara beberapa kawasan di seluruh negara yang dipilih bagi pembekalan baja rintis oleh kerajaan.

“Kami memang menyokong usaha mengurangkan beban pembelian baja namun kerja-kerja semburan baja melalui dron mengambil masa agak lama.

“Anak pokok berusia empat hingga 10 hari kebiasaannya telah ditabur baja kali pertama tetapi ramai pesawah me­rungut kerana kawasan ta­naman belum dapat melakukannya setakat ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Mohamad Asri, dia difahamkan terdapat 600 hektar tanaman padi di kawasan itu belum disembur baja kali pertama.

“Masalah ini tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan melantik syarikat bagi menguruskan projek rintis tersebut,” ujarnya.

Bagi Sulbani Abd Karim, 59, kelewatan bekalan baja itu mengakibatkan tumbesaran pokok padi pesawah terbantut.

“Jika tidak mengikut tarikh penanaman sebenar, kami risau ia menjejaskan buah padi sekali gus mengurangkan hasil pengeluaran musim ini.

“Pokok padi sepatutnya menerima empat kali baja semusim namun jadual pembajaan kali pertama pun sudah lewat dan kawasan sawah akan dipenuhi rumput,” katanya.

Murshidul Hafid Ahmad, 50, pula mendakwa, pesawah terpaksa mendapatkan baja di pusat operasi dan stor yang dikendalikan pihak syarikat bertanggungjawab.

“Kami kini terpaksa menabur baja sendiri dan dibayar RM50 setiap lot sawah apabila semburan baja menggunakan dron lewat. Jika mahu me­nunggu satu pusingan baja selesai, ia mungkin makan masa lama untuk kerja pembajaan kali kedua,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN