PETALING JAYA: Kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan 10,000 nelayan tempatan atau 8,000 orang yang beroperasi di Zon A masih bergelut mendapatkan lesen bot menangkap ikan.
Lebih membimbangkan kebanyakan mereka adalah pelapis menggantikan individu dalam keluarga masing-masing menjadi nelayan.
Malah kehadiran nelayan muda dalam sektor perikanan sangat penting bagi memastikan kelestarian sekuriti makanan negara terjaga dan tidak dimonopoli warga asing.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Mohd. Faizal Mohd. Zabri berkata, lesen yang membenarkan nelayan menangkap ikan telah lama dibekukan.
“Hanya Jabatan Perikanan (DOF) mempunyai kuasa mengeluarkan lesen tersebut. Namun, untuk mendapatkannya sangat sukar
“Ramai nelayan yang tidak berlesen ini adalah golongan muda, iaitu hampir 80 peratus daripada 10,000 nelayan yang beroperasi di Zon A. Terdapat juga nelayan yang menunggu sehingga mati tetapi tidak dapat lesen.
“Polis Marin dan pasukan penguat kuasa akan tangkap nelayan yang tidak berlesen serta merampas bot sehingga menjejaskan sumber rezeki mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nelayan Zon A adalah dalam kumpulan yang menangkap ikan dalam kawasan lima batu nautika dari pantai.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, Malaysia berdepan kekangan tenaga buruh tempatan dalam industri perikanan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang kerana hampir 52 peratus atau 58,531 nelayan kini berusia 50 tahun dan ke atas.
Berdasarkan data diperoleh daripada DOF, jumlah nelayan di seluruh negara yang masih aktif menjalankan aktiviti menangkap ikan adalah sebanyak 112,344 orang.
Bagaimanapun, golongan nelayan berusia 50 tahun dan ke atas akan keluar dari sektor itu dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lagi manakala golongan muda kurang minat menjadi nelayan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sektor perikanan Malaysia kini dimonopoli golongan yang bakal meninggalkan bidang itu atas faktor usia secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Justeru, kata beliau, penglibatan golongan belia sebagai nelayan moden sangat penting kepada sektor perikanan negara bagi memastikan kelestarian sekuriti makanan di Malaysia terjaga.
Sehubungan itu, Mohd. Faizal meminta DOF mengeluarkan pas atau permit kepada nelayan pantai yang tidak berlesen.
“Secara automatik nelayan yang tidak mempunyai lesen akan berdaftar. Seterusnya kita tahu latar belakang dan umur nelayan tersebut. Ini membolehkan kita buar penilaian memang terdapat golongan belia akan ganti nelayan yang sedang menua.
“Kebanyakan nelayan inginkan permit tersebut jika mereka membekukan pemberian lesen kepada nelayan,” katanya. – UTUSAN










