KUALA TERENGGANU: Sebanyak 43 syarikat pempamer melibatkan penggiat industri berasaskan kopi dari seluruh negara menyertai Pesta Kopi Terengganu 2024 di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini bermula semalam hingga Sabtu ini.
Penganjur acara, Ahmad Haziq Badrol Hisham berkata, penganjuran pameran berskala besar itu adalah susulan kejayaan program tersebut yang bermula pada tahun 2023.
Menurutnya, antara pempamer yang turut menyertai pesta kopi itu adalah pihak lain pembekal biji kopi, pembekal mesin dan peralatan kopi serta pembekal bahan minuman yang berprestij.
“Kali ini, sambutan lebih hebat kerana jumlah pempamer meningkat lebih sekali ganda malah penyertaan pertandingan juga penuh hanya dalam tempoh seminggu selepas dibuka.
“Kita jangka seramai 50,000 pengunjung memeriahkan pesta kopi itu dengan nilai jualan yang bakal direkodkan sebanyak RM800,000,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Pesta Kopi Terengganu 2024 itu dianjurkan Port Coffee Roaster bersama Ghostbird Coffee Roaster itu dan mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan & Seni Budaya (MOTAC) serta Malaysia Speciality Coffee Association (MSCA).
Ahmad Haziq memberitahu, tiga pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM10,000 turut diadakan iaitu pertandingan seni kopi (latte art), pertandingan bancuhan kopi (brewing) dan ujian rasa (cup taster).
Katanya, pameran itu juga membeli peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri proses penghasilan kopi menggunakan pelbagai mesin yang berteknologi canggih yang digunakan pemilik kafe dan kedai kopi tempatan.
“Lebih istimewa kerana sesiapa sahaja yang berminat memulakan perniagaan berasaskan kopi juga boleh datang kerana kita turut mengadakan sesi perkongsian usahawan berjaya yang telah menjana pendapatan lumayan dalam industri ini.
“Bagi peminat kopi pula, mereka boleh menambah ilmu pengetahuan mengenai keistimewaan kopi yang terdapat di seluruh dunia untuk dijadikan minuman harian yang berkhasiat untuk mereka,” katanya. – UTUSAN










