40 peratus nelayan keluar kepompong kemiskinan

40 peratus nelayan keluar kepompong kemiskinan

PENGLIBATAN nelayan dalam industri hiliran dapat meningkatkan ekonomi mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir 40 pe­ratus atau 26,532 nelayan tempatan kecil berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan terutama selepas melibatkan diri dalam industri hiliran sekali gus menikmati kehidupan yang lebih baik dan selesa.

Kebanyakan mereka terlibat sektor perniagaan de­ngan menghasilkan produk ha­sil laut sehingga mampu menjana pendapatan lebih RM2,500 sebulan.

Berdasarkan data Jabatan Perikanan, jumlah nelayan di seluruh negara adalah sebanyak 112,344 orang yang melibatkan tiga zon utama iaitu seramai 69,822 orang di Zon A; 14,807 orang (Zon B) dan 18,117 orang (Zon C) manakala selebihnya sebanyak 9,310 orang di Con C 2 serta 288 nelayan di Zon C3.

Memuatkan artikel berkaitan…

Daripada jumlah itu, keba­nyakan nelayan tempatan kecil dan miskin hadir daripada kumpulan yang menangkap ikan di kawasan Zon A.

Ukuran bagi kawasan Zon A adalah dari pantai ke lima batu nautika manakala kawasan Zon B pula dari lima ke 15 batu nautika dan kawasan Zon C adalah dari 15 batu nautika hingga ke laut dalam.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, nelayan perlu berani menceburi bidang perniagaan dan tidak bergantung semata-mata kepada hasil menangkap ikan kerana ia mampu meningkatkan pendapatan mereka.

“Nelayan disaran terlibat dalam industri downstream yang menawarkan banyak peluang meningkatkan ekonomi. Sebagai contoh, nelayan boleh mengusahakan keropok, belacan dan budu yang boleh dipasarkan ke seluruh negara.

“LKIM sebelum ini telah memperkenal program ‘Satu Persatuan Nelayan (PN) Satu Produk’ yang bertujuan membasmi kemiskinan dalam kala­ngan mereka.

“Inisiatif ini diwujudkan untuk menarik nelayan terlibat dalam industri hiliran dan menarik lebih ramai dalam kala­ngan mereka memanfaatkan hasil tangkapan ikan untuk jualan hasil ikan yang boleh menjana pendapatan lebih tinggi.

“Nelayan juga perlu berani mengambil peluang melalui dana atau pinjaman yang ditawarkan bagi meningkatkan peralatan penangkapan ikan untuk pergi lebih jauh di lautan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berhubung nelayan yang masih berada di bawah paras kemiskinan, Muhammad Faiz berkata, selain tidak menceburi sumber ekonomi kedua, cara penangkapan yang sudah lama atau tradisional menyebabkan nelayan kecil tersebut terikat dengan situasi itu.

“Memang tidak dinafikan ramai nelayan tempatan hanya berpendapatan bawah RM2,200. Mereka berada di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan pemilik iaitu RM2,151.13 sebulan.

“Pendapatan bagi ketua membawa bot (tekong) pula sebanyak RM1,732.76 sebulan dan pekerja dalam bot (awak-awak) sebanyak RM1,235.77 sebulan,” katanya.

Katanya, kebanyakan nelayan yang berada bawah kepompong kemiskinan kerana masih terlalu selesa dengan kerjaya tersebut sehingga tidak melibatkan diri dalam sektor lain.

“Nelayan perlu ubah sikap dengan merebut peluang lain di samping berusaha beralih kepada bidang penangkapan ikan laut dalam untuk meningkatkan hasil tangkapan mereka.

“Walaupun melibatkan kos yang besar, kerajaan bersedia membantu menerusi geran dan pinjaman yang boleh dibuat menerusi AgroBank seperti Skim Pembiayaan Bot.

“Nelayan juga perlu minat dan melibatkan diri dalam sektor perniagaan dengan menggunakan konsep jual terus kepada pengguna dengan harga bersesuaian dan tidak menggunakan orang ketiga dalam penjualan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×