KLUANG: Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar bahagian tepi lori tangki sebelum dirempuh sebuah kereta di Kilometer 10, Jalan Kluang-Teck Wah Hing, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian berlaku pukul 12.34 tengah hari itu melibatkan S.Ragawan yang memandu kereta Proton Wira, Kamarul Ariffin Mohamad, 24, juga memandu kereta Proton Wira dan lori tangki muatan petrol dipandu Muhamad Khusairi Ah Mat Limit, 29.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua kereta Proton Wira datang dari arah Kluang ke Simpang Renggam manakala lori tangki dari arah bertentangan.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dipandu Ragawan yang berada di hadapan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar bahagian tepi kanan lori tangki.
“Akibatnya kereta Proton Wira berkenaan berpusing dan memasuki semula laluan asal sebelum dirempuh Proton Wira dipandu Kamarul Ariffin yang berada dibelakang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Bahrin lagi, akibat daripada kejadian itu, Ragawan telah mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala dua lagi pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN










