Wanita Muslim Paskibraka dibenarkan pakai tudung

Wanita Muslim Paskibraka dibenarkan pakai tudung pada Hari Kemerdekaan Indonesia

SEBELUM ini timbul dakwaan bahawa anggota wanita Islam Paskibraka tidak dibenarkan memakai tudung.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Anggota wanita Islam Pasukan Pengibar Bendera Negara (Paskibraka) Indonesia boleh memakai tudung semasa upacara Hari Kemerdekaan di ibu kota baharu, Nusantara pada 17 Ogos tahun ini, demikian menurut Sekretariat Presiden.

Ketua Sekretariat, Heru Budi Hartono memberi jaminan kepada orang ramai susulan dakwaan Badan Pemgembangan Ideologi Pancasila (BPIP) dikatakan telah mengarahkan anggota wanita Muslim untuk menanggalkan tudung semasa menjalankan tugas.

“Kami meminta kepada anggota wanita yang berhijab supaya terus memakainya semasa upacara pada 17 Ogos ini (Sabtu),” kata Hartono dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, ahli Paskibraka tidak menanggalkan tudung semasa raptai pakaian hari kemerdekaan di Nusantara pada Rabu.

Katanya lagi, BPIP tidak melaporkan kepada pihaknya berhubung arahan kepada anggota wanita bagi menanggalkan tudung dan menegaskan mereka yang memakai tudung boleh terus memakainya tanpa perlu menanggalkannya semasa upacara hari kemerdekaan itu nanti. 

Keputusan menyekat pemakaian tudung tersebut mendapat kritikan daripada orang ramai yang menyedari semua ahli pengibar bendera wanita beragama islam tidak memakai tudung semasa majlis pelantikan mereka pada 14 Ogos lalu.

Pengerusi BPIP, Yudian Wahyudi sebelum ini berkata bahawa pihaknya mengarahkan ahli pasukan pengibar bendera untuk menanggalkan tudung mereka dengan alasan keseragaman, walaupun anggotanya dibenarkan untuk memakainya semasa bertugas.

Kata beliau, anggota tentera bahawa mereka dikehendaki untuk menanggalkan tudung hanya semasa upacara induksi dan menaikkan bendera.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN