KLUANG: Seorang wanita warga emas maut dipercayai dipijak gajah dalam kejadian di jalan ke kebun getah Felcra Batu 29 di Kampung Sri Lukut, Kahang di Kluang pagi tadi.
Ketua Kampung Sri Lukut, Yusuf Ibrahim berkata, kejadian pada pukul 7 pagi itu melibatkan Misirah Saniman, 75, yang hidup sebatang kara di sebuah rumah berhampiran kebun getah itu.
Menurut beliau, wanita itu diserang sekumpulan kira-kira 10 ekor gajah yang dipercayai mula memasuki kawasan kebun getah berkenaan tengah malam tadi.
“Mangsa dipercayai diserang ketika sedang menoreh getah tidak jauh dari rumahnya dan akibat kejadian itu mangsa ditemui maut di lokasi.
“Mayat mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Kahang sebelum dikebumikan di Tanah Pekuburan Islam Kampung Sri Lukut,” katanya ketika ditemui di Kampung Sri Lukut hari ini.
Menurut Yusuf lagi, satu laporan kejadian sudah dimaklumkan ke Balai Polis Kahang serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.
Ujarnya, sejak akhir-akhir ini, kumpulan gajah kerap memasuki kawasan Felcra Batu 29 serta Kampung Sri Lukut dan merisaukan penduduk. – UTUSAN










