PETALING JAYA: UMNO merupakan medan melahirkan pemimpin dengan kebanyakan DNA pemimpin datang daripada parti itu termasuklah pemimpin-pemimpin utama negara.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, warisan itu perlu dikekalkan agar lebih ramai pemimpin boleh dilahirkan.
“Ketika mencetuskan idea untuk mengadakan Persidangan Mahasiswa UMNO (PMU) 2024 ini, saya merasakan mahasiswa perlu bergiat proaktif dengan pengisian persidangan ini menjadi langkah awal membentuk jati diri kepimpinan selain ilmu untuk memimpin.
“Dalam ucapan saya juga menyatakan bahawa UMNO merupakan medan melahirkan pemimpin. Kebanyakan DNA pemimpin datang daripada UMNO termasuklah pemimpin-pemimpin utama negara.
“Kekalkan warisan ini agar lebih ramai pemimpin yang bakal dilahirkan melalui Mahasiswa UMNO bermula dari sekarang untuk masa hadapan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
PMU 2024 diadakan buat julung kali ini berjaya mengumpulkan lebih daripada 430 mahasiswa yang melibatkan 19 universiti awam dari seluruh negara.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, PMU 2024 diharap menjadi pemangkin untuk kepimpinan Mahasiswa UMNO terus bergiat aktif terutamanya dalam memberi sumbangan khidmat bakti kepada masyarakat.
Katanya, ia termasuk menyemarakkan lagi anak-anak muda untuk sambung belajar ke peringkat lebih tinggi.
“Ini juga menjadi momentum kepada kesiapsiagaan orang muda untuk PAU 2024 dan diharap menjadi pewaris berterusan kepimpinan masa hadapan UMNO,” katanya.- UTUSAN










