GEORGE TOWN : Tindakan seorang jurujual mengugut untuk membakar rumah ibunya bulan lalu mengundang padah apabila dia didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Tertuduh, Kelvin Gun Soon Ming, 44, turut berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.
Kelvin yang bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan bulanan berjumlah RM4,000 sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Siti Nurul Suhaila Baharin.
Mengikut pertuduhan, Kelvin melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya yang berusia 69 tahun dengan menyatakan bahawa dia akan membakar rumah sekiranya warga emas itu tidak memberinya wang sehingga mendatangkan kegentaran dan ketakutan kepada mangsa.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Bandar Baru Ayer Itam, kira-kira pukul 10.30 malam pada 9 Julai lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Kelvin meminta wang berjumlah RM5,000 kepada ibunya untuk membeli kereta, namun, wanita itu enggan memberikan wang tersebut sehingga menyebabkan tertuduh mengugut mangsa.
Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, Yiew De Xien, memohon hukuman denda yang minimum memandangkan ia adalah kesalahan pertama dilakukan anak guamnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh serta memastikan dia tidak mengulangi kesalahan yang sama selepas ini.-UTUSAN










