Tubuh suruhanjaya khas nilai undang-undang lapuk

Tubuh suruhanjaya khas nilai undang-undang lapuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu suruhanjaya khas perlu diwujudkan untuk meneliti isu-isu yang boleh timbul dalam usaha menilai semula undang-undang lapuk di negara ini.

Malah, kerajaan boleh memperkenalkan semula dana penyelidikan untuk membolehkan semakan dan penilaian undang-undang dijalankan secara berterusan.

Peguam dan pemerhati undang-undang, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir berkata, proses penilaian semula undang-undang lapuk tidak mungkin dapat diselesaikan dalam satu penggal pentadbiran kerajaan, sebaliknya perlu dilakukan secara berterusan.

ASPEK PENTING

Jelas beliau, tanpa badan khusus ini, aspek penting dalam undang-undang mungkin tidak diberi perhatian yang sewajar­nya.

“Penilaian semula undang-undang melibatkan pembatalan atau pengemaskinian undang-undang memerlukan analisis mendalam.

“Ini bagi memastikan undang-undang yang masih berkuat kuasa relevan dan berkesan dengan keadaan semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan kerajaan bersedia me­lakukan penilaian semula ke atas lebih 3,000 undang-undang lapuk yang sudah tidak relevan dengan keadaan semasa dan isu itu akan dibentang kepada Kabinet minggu depan.

Mengulas lanjut, Nizam Bashir berkata, negara-negara maju seperti Australia, New Zealand, dan United Kingdom (UK) menubuhkan suruhanjaya khas untuk menilai undang-undang secara berkala.

RUNDINGAN AWAM

“Suruhanjaya ini juga berfungsi sebagai pengawal selia dan platform untuk rundi­ngan awam bagi memastikan masyarakat dilibatkan dan undang-undang yang diperkenalkan atau dipinda selaras dengan keperluan dan kehendak rak­yat,” jelasnya.

Mengenai undang-undang yang perlu diutamakan, beliau berkata, Akta Surat Kuasa Wakil 1949, Akta Wasiat 1959, Akta Pemegang Amanah 1949 dan Akta Orang Kurang Upaya 2008 adalah antara yang perlu semakan semula.

“Akta Orang Kurang Upaya 2008 perlu disemak untuk memberikan perlindungan yang lebih baik kepada golongan ini dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Undang-undang dan Polisi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, perubahan struktur masyarakat menjadikan undang-undang sedia ada tidak sesuai dan memerlukan peraturan yang selaras dengan perkembangan semasa.

“Undang-undang yang me­merlukan dokumen bercetak perlu dipinda agar urusan pemakluman dan dokumentasi boleh dilakukan secara dalam talian.

“Terdapat undang-undang lama perlu dipinda kerana penggunaan istilah atau perkataan yang sudah tidak sesuai dengan konteks semasa,” tambahnya.

GERAN PENYELIDIKAN

Muhammad Fathi turut menyokong penyediaan geran pe­nyelidikan kepada ahli akademik bagi mencadangkan semakan undang-undang yang tidak relevan.

“Sejak kemerdekaan pada 1957, sebanyak 885 akta telah diluluskan oleh Parlimen, de­ngan fokus utama pada akta-akta Parlimen sebelum menilai peraturan atau enakmen negeri.

“Kerajaan Persekutuan perlu fokus pada undang-undang Persekutuan manakala kerajaan negeri bertanggungjawab untuk menilai dan meminda enakmen negeri.

“Semakan perlu dilakukan terhadap akta melebihi 30 tahun serta undang-undang baru yang diperkenalkan dalam 10 hingga 15 tahun seperti Akta Pengurusan Strata 2013 yang dianggap baharu memerlukan semakan disebabkan pelbagai isu yang timbul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×