Tolonglah jangan 'double standard' - Ahmad Zahid

Tolonglah jangan ‘double standard’ – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Negara (AG) mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mendakwa mana-mana pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam membuat siasatan, maka pertikaian tidak boleh dibuat mana-mana pihak termasuk pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam hal ini, jangan ada sesiapa pun yang ‘double standard’ dengan menyifatkan kerajaan tidak adil apabila siasatan dikenakan terhadap mereka.
“Yang saya (disiasat), dia kata kerajaan berlaku adil, bila kena dekat mereka, kerajaan tidak berlaku adil lah, double standard lah, tolongah,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Teknikal Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) 2024 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini, hari ini.

Hari ini, Muhyiddin menghadapi pertuduhan mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang hari ini, susulan ceramahnya berkait raja, agama dan kaum (3R) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.

Polis sebelum ini menyiasat laporan dibuat terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pendakwaan tersebut dibuat secara tergesa-gesa, sekali gus menimbulkan banyak lagi persoalan lain.

Mengimbas kembali siasatan yang dijalankan terhadap Ahmad Zahid, beliau berkata, dakwaan dibuat terhadapnya meskipun siasatan masih belum selesai.
“Kalau mereka, kata tergesa-gesa, kalau kena dekat saya.. ‘oh ini satu siasatan yang sangat komprehensif’. Ini realiti yang bila you buat salah, siasatan yang telah dilakukan, Peguam Negara mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mendakwa.
“Saya dulu didakwa sebelum siasatan selesai, itu sebab di dalam saya menghadapi pertuduhan, pindaan dibuat terhadap tuduhan itu,” ujarnya lagi.
Ahmad Zahid sebelum ini didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun, pada September tahun lalu, beliau telah dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan berkenaan, sekali gus menyifatkan ia pendakwaan terpilih yang bermotifkan politik terhadapnya dan lebih 20 pemimpin Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×