KUALA LUMPUR: Zizan Razak, 40, menepis pandangan yang melabelkannya pelakon mahal dan memilih tawaran.
Kata Mohd Razizan Abdul Razak, dia sebenarnya bersikap terbuka, tidak memilih bulu dan bukan pelakon mahal seperti yang didakwa.
Malah, katanya, dia sejak dulu sentiasa mengalu-alukan tawaran berlakon dalam mana-mana filem dan drama yang dihasilkan dengan peruntukan yang rendah.
“Ramai tak tahu, saya sebelum ini banyak terima tawaran berlakon daripada penerbit yang tak ada peruntukan sebab saya tertarik dengan skrip yang mereka hasilkan.
“Bayaran boleh dibincangkan kalau penerbit berkenaan betul-betul tak ada ‘budget’. Saya tengok latar belakang mereka, betul atau tidak tak ada peruntukan yang besar.
“Saya tak kisah nak bantu, asalkan skrip yang ditawarkan bagus dan wataknya belum pernah saya lakonkan,” kongsinya.
Zizan berkata demikian pada forum sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia baru-baru ini.
Disoal mengenai watak, Zizan juga memaklumkan dia sejak dulu terbuka dan berminat melakonkan pelbagai karakter selain watak komedi yang sinonim dengannya.
“Sebenarnya daripada dulu lagi. Cuma, ramai penerbit tawarkan watak yang pada pandangan mereka hanya sesuai untuk saya.
“Selepas berlakon dalam Polis Evo, baru penonton tahu bahawa saya boleh bawa watak lain (selain komedi). Bukan saya tak boleh, hanya tak diberi peluang.
“Tapi, saya akan elakkan watak yang diluar kemampuan saya. Dan pada masa yang sama, saya tak akan terima watak yang menjatuhkan maruah atau merosakkan karier saya,” ujarnya.










