KANGAR: Malaysia perlu mengambil pendekatan jangka pendek dan panjang yang berkesan bagi mengatasi cabaran pemanasan global yang turut mengancam negara ini.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, antara langkah utama adalah dengan meningkatkan pengurusan sumber air secara efisien termasuk memperkenal teknologi moden untuk pemantauan serta penggunaan air.
Katanya, hal demikian penting kerana perubahan cuaca ekstrem sering menyebabkan kekurangan air yang menjejaskan pelbagai sektor, terutama pertanian dan perindustrian.
Selain itu, katanya, antara yang perlu diberikan keutamaan adalah memperkukuh infrastruktur yang mampu bertahan dalam cuaca ekstrem.
Ujar beliau, antaranya seperti pembinaan infrastruktur yang lebih tahan banjir, empangan yang lebih cekap dan sistem saliran yang lebih baik bagi membantu mengurangkan risiko kerosakan akibat bencana alam.
“Ini bukan sahaja melindungi kehidupan dan harta benda rakyat tetapi mengurangkan beban kewangan perlu ditanggung oleh kerajaan dan rakyat selepas berlakunya bencana.
“Seterusnya, memberikan insentif kepada industri untuk mengurangkan pelepasan karbon yang merupakan langkah kritikal dalam jangka pendek. Industri-industri utama juga perlu digalakkan untuk beralih kepada teknologi hijau yang lebih mesra alam dan kurang bergantung kepada bahan api fosil.
“Insentif seperti pengecualian cukai atau subsidi untuk penggunaan teknologi hijau juga boleh mendorong industri untuk melaksanakan perubahan yang perlu.
Langkah-langkah ini, jika dilaksanakan dengan berkesan boleh membantu mengurangkan kesan pemanasan global dan mempersiap negara untuk menghadapi cabaran jangka panjang,” katanya.
Menurut Norazian, untuk perancangan jangka panjang pula, Malaysia perlu beralih kepada ekonomi hijau yang lebih berdaya tahan dan lestari.
Katanya, salah satu langkah utama untuk mencapai matlamat ini adalah dengan mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin.
Ujarnya, penggunaan sumber tenaga yang bersih ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil tetapi membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global.
“Dengan adanya dasar dan insentif yang menyokong industri tenaga boleh diperbaharui, Malaysia boleh menjadi peneraju dalam pembangunan teknologi hijau di rantau ini.
“Selain itu, usaha pemulihan hutan dan kawasan tadahan air juga perlu dipergiatkan. Hutan berfungsi sebagai penyerap karbon yang berkesan dan membantu mengurangkan jumlah karbon dioksida dalam atmosfera.
“Pemulihan hutan yang terancam serta penanaman semula kawasan yang telah dibuka dapat memulihkan ekosistem dan mengekalkan biodiversiti yang penting untuk keseimbangan alam. Pada masa sama, melindungi dan memulihkan kawasan tadahan air juga adalah penting untuk memastikan ketersediaan sumber air yang berterusan terutama dalam menghadapi perubahan iklim yang boleh mengganggu corak hujan,” katanya.
Katanya lagi, secara keseluruhan pemanasan global adalah cabaran besar yang memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak.
“Hanya melalui usaha bersama, kita dapat memastikan Malaysia terus berkembang sebagai negara yang makmur dan lestari dalam menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin mencabar ini,” katanya. – UTUSAN










