KLANG: Tiada visual yang dapat dirakam terhadap sebarang insiden yang berlaku di Jambatan Kota, Sungai Klang berikutan kawasan tersebut tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datin Noraini Rosalan berkata, berdasarkan rekod, Jambatan Kota bukan kawasan panas yang kerap berlaku kejadian jenayah yang memerlukan pemasangan kamera itu.
“Kalau jenayah berlaku di Jambatan Kota, ia insiden yang menyedihkan kerana tiada visual dapat dirakam,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Taman Kucing Klang, semalam.
Jelasnya, dengan sumber kewangan yang terhad, pihaknya hanya fokus kawasan sering berlaku jenayah dan pembuangan sampah secara haram untuk pemasangan CCTV.
Kata Noraini lagi, Jambatan Kota adalah laluan kenderaan dan MBDK tidak menyekat orang ramai khususnya pejalan kaki untuk melalui jambatan tersebut.
Terdahulu, Jambatan Kota dipercayai menjadi lokasi terakhir penjejakan penyanyi, Muhammad Nidza Afham Mokhtar atau dikenali sebagai Nidza Afham yang dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemukan terapung tidak jauh dari jambatan berkenaan.
Menurut ahli keluarganya, telefon bimbit dan dompet milik arwah ditemui di jambatan itu berdasarkan aplikasi ‘Find My iPhone’ yang dibuat oleh teman wanita Muhammad Nidza Afham. – UTUSAN







