KLANG: Tiada rakaman atau visual terhadap sebarang insiden di Jambatan Kota, Sungai Klang dapat dirakam berikutan di kawasan tersebut tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datin Noraini Rosalan berkata, berdasarkan rekod, Jambatan Kota bukan kawasan panas yang kerap berlaku kejadian jenayah yang memerlukan pemasangan kamera itu di sana.
“Kalau jenayah berlaku (di Jambatan Kota), ia merupakan insiden yang menyedihkan kerana tiada visual dapat dirakam,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Taman Kucing Klang, hari ini.
Jelasnya, pemasangan CCTV di kawasan bukan titik panas jenayah serta pembuangan sampah secara haram hanya dilakukan jika MBDK mempunyai peruntukan yang mencukupi.
“Dengan sumber (kewangan) yang terhad kita hanya memfokus (pemasangan CCTV) di dua kawasan hotspot tersebut (jenayah dan pembuangan sampah secara haram),” ujarnya.
Kata Noraini lagi,, Jambatan Kota adalah laluan kenderaan dan MBDK tidak menyekat orang ramai khususnya pejalan kaki untuk melalui jambatan tersebut.
Terdahulu, Jambatan Kota dipercayai menjadi lokasi terakhir penjejakan penyanyi, Muhammad Nidza Afham Mokhtar atau dikenali sebagai Nidza Afham yang dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemukan terapung tidak jauh dari jambatan berkenaan.
Menurut ahli keluarganya, telefon bimbit dan dompet milik arwah ditemui di jambatan itu berdasarkan aplikasi ‘Find My iPhone’ yang dibuat oleh teman wanita Nidza. – UTUSAN










