TFC kecundang kepada Svay Rieng FC 2-3 - Utusan Malaysia

TFC kecundang kepada Svay Rieng FC 2-3

PEMAIN TFC, Akhyar Rashid (tengah) diasak keras pemain Svay Rieng FC dalam saingan ACC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) tumpas 2-3 kepada Svay Rieng FC pada aksi sulung Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Walaupun bermula baik dengan rembatan deras Ubaidullah Shamsul Fazili yang tepat ke arah sasaran seawal minit ketujuh, TFC dikejutkan dengan gol berturut-turut daripada pelawat.

Bermula gerakan satu dua bersama Roque Dos Santos, Gabriel Silva bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum bola sepakan leretnya menerjah jaring untuk pelawat di depan minit ke-12.

Kelekaan benteng TFC dihukum lagi minit ke-16 menerusi Pablo Augusto yang melebarkan kedudukan 2-0 apabila mudah menyambar bola muntah percubaan awal Dos Santos.

Svay Rieng yang juga juara bertahan Liga Kemboja terus mengganas menyaksikan rembatan Augusto diselamatkan penjaga gol manakala tindakan susulan Silva menggegar palang minit ke-30.

Kesilapan Safwan Mazlan mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya juga nyaris membawa padah mujur rembatan leret Augusto ditepis Mohd. Suhaimi Husin empat minit sebelum rehat.

Usaha tuan rumah menambah tekanan membuahkan hasil selepas rehat melalui Manuel Ott yang menolak masuk bola hantaran Ubaidullah dari sebelah kiri pada minit ke-55.

Ketika TFC ghairah memburu gol penyamaan, pemain gantian, Min Rantanak, melebarkan kelebihan 3-1 buat kelab Kemboja itu menerusi percubaan lencong minit ke-86.

Gol penalti Safawi Rasid minit ke-90 susulan kekasaran penjaga gol ke atas Chuwu Chijioke bagaimanapun sudah terlewat buat skuad Penyu dengan kedudukan 2-3 kekal sehingga tamat.

Lain-lain keputusan Kumpulan A menyaksikan PSM Makassar seri 0-0 dengan Bangkok Glass Phatum United manakala kelab Vietnam, Thanh Hoa FC menang 3-1 ke atas Shan United dari Myanmar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN