Teruskan bawa rakyat Palestin cedera ke Malaysia - CGM

Teruskan bawa rakyat Palestin cedera ke Malaysia – CGM

Seorang kanak-kanak pesakit kanser dibawa dengan ambulan dari Hospital Al-Nasser, Gaza bagi mendapat rawatan di Jordan selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa Israel kelmarin. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disarankan untuk meneruskan usaha membantu membawa rakyat Palestin yang cedera di Mesir ke Malaysia bagi membolehkan mereka menerima rawatan di sini dengan lebih berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan kerajaan pada masa depan bagi meningkatkan keberkesanan bantuan kemanusiaan itu jika berhasrat meneruskan usaha tersebut.

Katanya, puluhan ribu rakyat Palestin dari Gaza yang cedera akibat serangan rejim Zionis terpaksa keluar ke Mesir untuk mendapatkan rawatan dan keadaan itu mungkin mengakibatkan negara itu tidak mampu menampung jumlah pesakit terlalu tinggi.

“Jadi CGM melihat, usaha kerajaan ini sangat baik namun perlu diteruskan dengan membawa lebih ramai lagi rakyat Palestin yang cedera bagi diberi rawatan sebaiknya di Malaysia.

“Kami juga sedia bekerjasama dengan kerajaan bagi merancang pergerakan seterusnya atau menghulurkan bantuan dana dan juga kepakaran jika diperlukan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Kelmarin, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Gaza, dengan diiringi 86 waris mereka selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang.

Mereka tiba sekitar pukul 2 petang dengan menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Semua 41 pesakit terbabit kemudian didiagnosis tahap kesihatan di Hospital Medan TUDM sebelum dibawa ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di Wangsa Maju untuk rawatan lanjut.

Muhammad Nadir berkata, sejak ketibaan rakyat Palestin itu, pihaknya menerima beberapa panggilan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang meminta sumbangan namun tidak dapat memastikan kesahihan NGO tersebut.

“Justeru, kami melihat ada keperluan untuk kerajaan bekerjasama dengan NGO tempatan (berkaitan Palestin) jika benar perlukan bantuan supaya tiada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

“Pada masa sama, kerajaan juga perlu ada perancangan lengkap untuk pesakit ini dan keluarga mereka sama ada dibenarkan menetap di Malaysia atau dihantar pulang ke Gaza apabila sudah sembuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×