PETALING JAYA: Terjerat dengan janji manis peminjam ketika memujuk untuk menjadi penjamin mereka terutama rakan baik, adik-beradik dan ahli keluarga antara punca utama peningkatan individu yang dibelenggu masalah muflis.
Pakar ekonomi dan Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, menjadi penjamin kepada seseorang bukan sesuatu yang digalakkan sebaliknya mendedahkan diri kepada risiko bebanan kewangan di luar jangka.
“Pelbagai janji manis ditaburkan kepada penjamin oleh peminjam untuk menyokong pinjaman mereka dengan bank supaya berjaya.
“Namun hakikatnya selepas berjaya mendapat kelulusan pihak bank, penjamin terpaksa menebal muka bagi mendesak peminjam membayar semula pinjaman kepada pihak bank atau institusi kewangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan sejumlah 159,781 kes kebankrapan belum dilepaskan daripada status muflis setakat Julai lalu.
DOKUMEN
Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia, M. Bakri Abd. Majid berkata, faktor utama menghalang kes bankrap daripada dibebaskan ialah kegagalan memberikan kerjasama kepada jabatannya dalam mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan.
Menurut beliau, ini meliputi keperluan mengemukakan senarai liabiliti, melengkapkan borang statutori seperti Pernyataan Hal Ehwal (PHE) serta borang Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan selama enam bulan.
Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menasihatkan individu mengambil langkah berjaga-jaga sebelum bersetuju menjadi penjamin bagi mana-mana pinjaman oleh orang lain.
Katanya, sebelum menjadi penjamin kepada mana-mana peminjam, mereka perlu melakukan pemeriksaan mendalam dan tidak hanya bergantung kepada maklumat yang diberikan semata-mata.
“Ramai yang hanya mempercayai kata-kata peminjam dan tidak hadir bersama ke institusi kewangan untuk memahami sepenuhnya komitmen yang mereka bakal tanggung.
“Ini adalah satu kesilapan yang boleh menyebabkan mereka terjerat dalam perangkap kewangan, terutama jika peminjam gagal melunaskan hutang,” katanya. – UTUSAN










