JOHOR BAHRU: Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota wajar ditangguhkan bagi menghormati perasaan ahli keluarga penyandangnya, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, hal itu kerana kekosongan kerusi DUN berkenaan telah mengundang pelbagai reaksi kurang manis daripada pemimpin politik pelbagai parti.
Katanya, perbualan membidas satu sama lain dalam media hanya akan menyebabkan masyarakat bosan melihat gelagat ahli politik.
“Lebih molek sekiranya kita serahkan isu calon mengisi kekosongan DUN Mahkota kepada pucuk pimpinan parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) demi menjaga keharmonian Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.
“Selepas mereka bermusyawarah, kita selaku anggota dan pimpinan bawah perlu menghormati sebarang keputusan diputuskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua AMK Cabang Pulai memberitahu, tindakan itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang tidak mahu kestabilan politik negara terjejas dan sentiasa dipelihara dengan baik.
“Oleh itu, sebarang tindakan atau kenyataan yang menjurus kepada perpecahan dan mengganggu gugat pentadbiran kerajaan perlu dielakkan,” jelasnya.
Kelmarin, Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain mendesak kerusi DUN berkenaan diserahkan kepada calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK).
Bagaimanapun, desakan itu disanggah banyak pihak termasuk dari Barisan Nasional (BN).
Malahan kepimpinan PH negeri turut menyatakan tidak bersetuju dengan kehendak Mohd. Zuhan untuk Parti Amanah Negara (Amanah) bertanding DUN Mahkota.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi DUN Mahkota pada 13 Ogos ini untuk membincangkan pelaksanaan PRK DUN berkenaan. – UTUSAN










