Tanaman musim kedua tidak terjejas - MADA

Tanaman musim kedua tidak terjejas – MADA

TAKUNGAN semasa di Empangan Pedu dan dua lagi empangan kendalian MADA masih mampu menampung pengairan tanaman padi sehingga musim 2/2024 meskipun tiada hujan. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Para petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tidak perlu bimbang dengan jangkaan musim 2/2024 yang dikatakan mungkin terjejas sekiranya cuaca berterusan panas dan tidak berlaku hujan.

Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli berkata, rekod sebelum ini menunjukkan takungan semasa di empangan kendalian pihaknya masih mampu menampung pengairan musim tanaman padi berikutnya tahun ini.

“Mungkin ada kerisauan pesawah-pesawah tetapi insya-Allah kita boleh bekalkan air bagi tujuan pengairan. Daripada simulasi dibuat dan berdasarkan rekod 20 tahun lepas, kita akan dapat bekalkan air untuk tujuan pengairan tanaman padi musim 1/2024 dengan sempurna.

“Malah dengan peratus takungan itu, kita juga sudah buat simulasi bahawa kalau sekiranya tiada hujan sehingga habis musim ini, kita masih boleh mengairi musim 2/2024 dengan takungan itu,” katanya ketika ditemui pada Sesi Lawatan Kerja Lapangan Banci Pertanian 2024 oleh Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin di Kubang Rotan, di sini semalam.

Utusan Malaysia melaporkan, Pengerusi Badan Bertindak Petani Mada, Che Ani Mat Zain berkata, sekiranya cuaca panas dan ketiadaan hujan berterusan, situasi itu akan menyukarkan petani memulakan musim tanaman baharu antara Oktober hingga November ini.

Ini berikutan, impak kemarau berpanjangan pada musim tanaman 1/2024 ketika ini belum dapat dilihat sepenuhnya berikutan ia akan tamat antara Ogos hingga September ini setelah selesai proses menuai.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, Operasi Pembenihan Awan yang dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama MADA dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) turut membantu meningkatkan jumlah takungan di empangan.

“Daripada tiga hari operasi dibuat, didapati dua hari iaitu pada 30 dan 31 Julai berlaku hujan di empangan yang sedikit sebanyak membantu meningkatkan takungan air.

“Di Empangan Pedu ketika ini terdapat lebih 40 peratus jumlah takungan semasa yang dapat memastikan pembekalan sumber itu tidak akan terjejas,” katanya.

Ujarnya, MADA akan berbincang dengan NADMA dan LSANK sekiranya terdapat keperluan untuk mengulangi pembenihan awan di kawasan empangan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN