KUALA LUMPUR: Anggota pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India, Vijayaletchumi, 48, yang terjatuh ke dalam lubang benam berhampiran Masjid India, di sini, kelmarin menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap bagi mengelak keracunan gas kumbahan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Kuala Lumpur, Fatta M Amin berkata, paras air di dalam pembetungan sudah surut namun dianggarkan masih sedalam 0.9 meter.
“Ini (pembetungan) adalah penggunaan laluan air domestik, paras air tiga kaki tetapi masih deras.
“Bawah pembetung ini (saiznya) besar sebenarnya tetapi bagi mengelak berlaku kecelakaan, hanya satu sahaja pegawai bomba masuk,” katanya, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata, operasi pencarian memfokuskan enam lurang kumbahan.
Beliau berkata, enam lurang kumbahan itu adalah di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian berhampiran Lebuh Pasar dan Jalan Kinabalu.
“Tindakan ini diambil hasil perbincangan dilakukan bagi meluaskan lokasi pencarian sebelum mengambil keputusan membuka enam lurang kumbahan berkenaan,” jelasnya.
Setakat pukul 6 petang semalam, kerja-kerja pencarian masih dijalankan.
Dalam pada itu, Sulizme Affendy berkata, keadaan di sekitar Jalan Masjid India adalah selamat untuk dikunjungi.
“Setakat ini kawasan sekitar selamat dikunjungi dan masa sama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan kajian lanjut struktur tanah,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 8.25 pagi kelmarin, mangsa sedang berjalan kaki dari arah Flat Selangor Mansion menuju ke arah Wisma Yakin, di Masjid India, tiba-tiba terjatuh akibat kejadian tanah jerlus. – UTUSAN










