PETALING JAYA: Semua pihak digesa menahan diri daripada membincangkan isu berkaitan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, pihaknya menginsafi pemergian Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang baru sahaja meninggal dunia dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakyat bagi kawasan DUN Mahkota.
Menurut beliau, Wanita UMNO turut berkongsi kesedihan ini dan menghormati sensitiviti yang dirasai oleh semua pihak termasuk keluarga Allahyarhamah.
“Dalam tempoh berdukacita ini, Wanita UMNO menyeru semua pihak agar mengambil pendekatan yang sensitif serta memberi ruang kepada mereka yang sedang berduka atas pemergian ADUN Mahkota.
“Maka, Wanita UMNO berpendirian bahawa adalah lebih sesuai untuk menahan diri dari membincangkan isu berkaitan kerusi DUN Mahkota.
“Biarlah isu berkenaan dibincangkan melalui Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan pihak pengurusan tertinggi parti,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilapor akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi DUN Mahkota, 13 Ogos ini.
Sebelum ini, Amanah Kluang dilapor mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.
Susulan itu, Pemuda UMNO Johor dilapor menyifatkan tuntutan kerusi itu sebagai gelojoh dan tamak serta tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris kepada Allahyarhamah.
Mengulas lanjut, Noraini berkata, Wanita UMNO menghargai kesedaran serta empati yang ditunjukkan oleh masyarakat dan mengajak semua untuk bersatu dalam memberikan sokongan kepada keluarga Allahyarhamah.
“Semoga roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan keluarga beliau diberi kesabaran dalam menghadapi dugaan ini,” katanya. – UTUSAN











