BESUT: Seorang bekas pengikut ajaran Ayah Pin bersyukur mengambil keputusan awal meninggalkan kumpulan tersebut sebelum diwartakan sebagai sesat pada tahun 1997.
Beliau yang mahu dikenali Ismail, 60, berkata, dia terlibat dengan kumpulan tersebut ketika masih belajar di tingkatan enam pada awal tahun 80-an.
Menurutnya, dia mengikuti ajaran Ayah Pin atau nama penuhnya, Ariffin Mohammed selepas diajak oleh seorang rakan ke sebuah markas di Kampung Batu 13, dekat sini.
Katanya, pada masa itu, ajaran Ayah Pin masih tidak terpesong dengan mengamalkan beberapa ajaran termasuk berzikir
“Ketika itu pengikut Ayah Pin masih tidak ramai kira-kira 20 orang melibatkan ahli keluarga dan penduduk kampung berdekatan.
“Bagaimanapun, saya tidak terlalu aktif dalam kumpulam tersebut kerana terikat dengan pembelajaran dan hanya menyertainya ketika waktu lapang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau yang berasal dari daerah ini memberitahu, Ayah Pin yang mengasaskan Kerajaan Langit didakwa mula sesat selepas terpesong daripada ajaran gurunya yang dikenali sebagai Tok Guru Hassan.
Katanya, percanggahan fahaman di antara Ayah Pin dan bekas gurunya menyebabkan ramai pengikut Ayah Pin mengambil keputusan meninggalkan kumpulan tersebut kerana tidak mahu terpesong akidah.
“Saya yang mengikuti ajaran Ayah Pin selama lebih setahun, kemudian mengambil keputusan meninggalkan kumpulan tersebut yang semakin sesat,” ujarnya.
Ismail menambah, selepas keluar daripada kumpulan itu, dia tidak lagi mengambil tahu berkenaan perkembangan Ayah Pin. –UTUSAN










