Sukar dapat pembiayaan punca gagal tanam semula sawit

Sukar dapat pembiayaan punca gagal tanam semula sawit

PEKEBUN kecil menyifatkan peruntukan dalam Belanjawan 2025 belum mencukupi membantu mereka meningkatkan pengeluaran hasil. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat tiga faktor penting yang menjadi punca program penanaman semula kelapa sawit yang berusia 25 tahun ke atas gagal mencapai sasaran antaranya disebabkan sebahagian besar pekebun kecil gagal mendapat kelulusan dalam Program Tanam Semula Sawit (TSPKS).

Hal ini berlaku disebabkan TSPKS yang diperkenalkan kerajaan merupakan program dana hibrid yang terdiri daripada dua komponen iaitu geran (50 peratus) dan pembiayaan (50 peratus) kepada pekebun kecil persendirian.

Pada masa sama, pembiayaan yang disediakan oleh Agrobank itu juga mengenakan faedah sebanyak dua peratus.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kerajaan dalam TSPKS pada tahun ini namun syarat yang dikenakan bank menyebabkan ramai pekebun gagal mendapatkan dana daripada program tersebut.

Katanya, sebahagian besar pekebun kecil merupakan golongan yang sudah berusia 50 hingga 60 tahun ke atas.

“Pekebun yang berusia bawah 60 tahun mudah untuk mendapatkan kelulusan pembiayaan namun bagi mereka berusia lebih 60 tahun, bank mahukan penjamin untuk meluluskannya.

“Ini menyebabkan ramai pekebun tidak meneruskan hasrat untuk mendapatkan dana kerana gagal mencari penjamin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

ADZMI HASSAN

Nilai pembiayaan TSPKS adalah RM14,000 sehektar untuk pekebun kecil sawit di Semenanjung Malaysia, manakala RM18,000 sehektar bagi pekebun kecil sawit di Sabah dan Sarawak dengan separuh daripada adalah pembiayaan perbankan berbentuk pinjaman.

Adzmi berkata, faktor kedua yang menjadi penghalang kebanyakan pekebun kecil menyertai program tersebut adalah pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang meletakkan syarat penanaman semula perlulah mempunyai geran milik sendiri.

Katanya, yang menjadi masalah adalah geran tersebut perlu mengisytiharkan status tanah sebagai penanaman kelapa sawit atau pertanian sahaja.

“Sebagai contoh, sebelum ini pekebun itu mengusahakan sawah padi namun menukar kepada kelapa sawit tanpa mengubah status tanah di geran, dia tidak akan mendapat kelulusan,” katanya.

Terakhir, beliau berkata, antara punca yang mengapa program penanaman semula kelapa sawit masih rendah iaitu 1.8 peratus berbanding sasaran empat hingga lima peratus adalah disebabkan faktor ekonomi.

“RM14,000 sehektar disediakan tidak mencukupi kerana seperti semua maklum harga diesel sudah meningkat, ia mengakibatkan kos penanaman semula juga meningkat.

“Semua itu terpaksa ditanggung oleh pemilik kebun yang akhirnya menyebabkan penanaman semula kelapa sawit gagal mencapai sasarannya,” katanya.

Semalam, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, industri sawit negara dikhuatiri bakal menerima nasib yang sama dengan getah jika penanaman semula pokok sawit yang menghampiri usia 20 tahun kurang daripada empat peratus setahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×