Sukan motosikal lasak, Rimba Raid Lenggong September ini - Utusan Malaysia

Sukan motosikal lasak, Rimba Raid Lenggong September ini

SHAMSUL ANUAR Nasarah (dua dari kanan) melihat piala acara perlumbaan motosikal lasak, Rimba Raid pada majlis pelancaran di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas lapan tahun diadakan di Kuala Tahan, Pahang, acara sukan motosikal lasak, Rimba Raid buat julung kali dianjurkan di Perak pada tahun ini.

Pengasas dan Pengarah Urusan Rimba Raid, Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, edisi kesembilan itu akan diadakan di Lenggong pada 24 hingga 29 September depan.

Katanya, seramai 250 peserta dari 17 negara telah mengesahkan penyertaan di mana 40 peratus daripadanya adalah peserta luar negara selain 10 peserta wanita.

“Bagi Rimba Raid Lenggong 2024, peserta akan melalui jarak perlumbaan sejauh 300 kilometer di dalam hutan di Lenggong dan menempuh beberapa halangan mencabar sepanjang laluan termasuk bukit bukau, cerun dan sungai.

“Terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu Masterclass A, Class B dan Class C,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pra Pelancaran Rimba Raid Lenggong 2024, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Mengulas lanjut beliau berkata, pada acara itu juga, peserta akan melalui trek laluan balak yang ditinggalkan sejak 20 tahun lalu.

Katanya, acara perlumbaan itu berlangsung dengan peraturan ketat tanpa menjejaskan alam sekitar dan tidak melibatkan kerosakan hutan.

“Sebelum kita masuk ke lokasi memang kita tinjau dengan renjer Jabatan Perhutanan supaya kita tidak pergi jauh dan tidak merosakkan hutan.

“Berdasarkan pengalaman di Kuala Tahan, tiga bulan kemudian kita sudah tidak jumpa jalan itu lagi. Lalang dan tumbuhan lain akan hidup balik,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×