Suami tuntut keadilan buat arwah Istiqomah

Suami tuntut keadilan buat arwah Istiqomah

MOHD. YUSOF Mokhtar (tengah) bersama-sama bapa dan ibu mentuanya, Ahmad Rozi Latimin dan Saleha Ya serta anak-anaknya di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keluarga arwah Istiqomah Ahmad Rozi, 34, yang mayatnya ditemukan tanpa kepala di dalam tong sampah di Alor Gajah, Melaka, Januari lalu menuntut keadilan untuk mangsa.

Suaminya, Mohd. Yusof Mokhtar, 35, berkata, walaupun berat menerima hakikat bahawa mayat dalam keadaan tidak sempurna itu adalah isterinya, dia reda dengan apa yang berlaku.

Sebagai waris terdekat Istiqomah yang juga seorang guru, Mohd. Yusof menuntut individu yang melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu diheret ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.

“Saya harap hukuman yang setimpal untuk si pelaku, kalau boleh hukuman gantung. Saya mahukan keadilan untuk isteri saya, tak patut (diperlakukan sedemikian rupa), dia seorang yang taat kepada suami dan amat sayangkan anak-anak.

“Dia (isteri) seorang yang baik, kalau ada apa-apa akan dia minta izin dengan saya. Saya nak keadilan untuk dia (isteri), memang kejam dia (pelaku) buat macam itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Masai, di sini semalam.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah mengesahkan mayat tidak sempurna yang ditemukan di Alor Gajah pada 31 Disember tahun lalu, dikenal pasti sebagai Istiqomah.

Pada 26 Disember lalu, arwah yang bekerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, di sini tidak pulang selepas keluar be­kerja dan sehari selepas itu polis menerima laporan berhubung kehilangannya.

Mengulas lanjut, bapa kepada tiga anak itu berkata, semua anaknya mengerti nasib menimpa ibu mereka yang diperlakukan dengan kejam.

“Anak sulung banyak diam, termenung dan rindukan ibunya. Sebelum ini, dia tak mahu pergi sekolah kerana kawannya selalu bertanya dan beritahu ibunya sudah hilang. Dia sering ikut isteri yang merupakan seorang pendiam dan suka tolong orang.

“Saya selalu pujuk dia, abah ada, datuk dan nenek pun ada. Anak sulung dan kedua tak menangis, dia akan kata mama (panggilan arwah untuk anak-anaknya) pergi ke sekolah,” katanya sambil memberitahu jenazah arwah akan dibawa balik dan dikebumikan di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, dalam masa terdekat.

Sementara itu, ibu mangsa, Saleha Ya, 58, berkata, kali terakhir dia bertemu anak sulung daripada dua beradik itu ketika bercuti bersama-sama kira-kira dua hari sebelum dia dilaporkan hilang.

Semasa bercuti di Morib, Selangor, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sehingga dimaklumkan berita kehilangannya oleh menantunya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN