PUTRAJAYA: Sejumlah 66,318 pemilih bakal menentukan wakil rakyat baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 September ini hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan, PRK kali ke-10 itu diadakan selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor, Datuk Mohd. Puad Zarkashi berhubung kekosongan luar jangka kerusi itu susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.
Beliau berkata, sejumlah RM2.4 juta diperlukan bagi menjalankan PRK tersebut dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 14 September.
“Hari mengundi awal ditetapkan pada 24 September melibatkan 4,510 orang tentera dan pasangan; 401 anggota polis dan 10 orang pengundi tidak hadir luar negara.
“Sejumlah 61,397 pemilih pula terdiri daripada pengundi biasa yang akan mengundi di 23 pusat mengundi melibatkan 120 tempat mengundi/saluran,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas SPR, di sini semalam.
Menurut Ramlan, seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dilantik untuk mengendalikan PRK ini dan dibantu empat orang Penolong Pegawai Pengurus selain 1,126 petugas terlibat.
Katanya, bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR menubuhkan satu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang turut dianggotai wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.
Jelas beliau, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan adalah di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang.
PRK DUN Mahkota adalah PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu; PRK Sungai Bakap dan terbaharu PRK DUN Nenggiri.
PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, calon BN, Sharifah Azizah menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166 menewaskan calon PH, Taqiuddin Cheman (Amanah) yang memperoleh 11,445 undi.
Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi. – UTUSAN










