GUA MUSANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka kira-kira 60 peratus daripada 20,259 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hari ini.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, segala persiapan menghadapi proses berkenaan berjalan lancar melibatkan 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Alhamdulillah persiapan berjalan dengan lancar dan cuaca setakat semalam juga baik.
“Proses pengundian esok bermula 8 pagi sehingga 6 petang. Namun, untuk PDM di Pos Orang Asli, tempoh mengundi mereka ada yang tamat pukul 2 dan 3 petang,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan berkait kerja-kerja penghantaran peti undi kepada dua Pos Orang Asli di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ikmalrudin memberitahu, SPR turut menyewa dua helikopter, 40 kenderaan pacuan empat roda untuk pergerakan ke kawasan perkampungan Orang Asli.
Katanya, lebih 400 petugas terbabit dan pihaknya berharap segala proses berjalan lancar sebagaimana yang dirancang.
“Saya menasihatkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mengundi esok supaya peratusan mengundi bertambah.
“Jangan lupa bawa kad pengenalan dan jangan beri dokumen pengenalan diri kepada sesiapa,” nasihat beliau.
Ikmalrudin berkata, SPR mejangkakan keputusan akan diperoleh sebelum pukul 9 malam.
Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menyeru kepada pengundi supaya jangan terpengaruh dengan ajakan pihak tertentu supaya mereka tidak keluar mengundi pada PRK DUN Nenggiri hari ini.
Beliau berkata, mereka perlu berbuat demikian kerana hak tersebut terjamin dalam perlembagaan negara.
Menurutnya, pada masa sama proses tersebut merupakan plaftrom pengundi untuk memilih wakil rakyat akan mewakili suara mereka di Nenggiri.
“Tidak timbul soal ada sesetengah pihak yang melarang orang lain daripada membuang undi. Kalau di sesetengah negara ia menjadi satu kesalahan jenayah.
“Negara kita belum lagi. Nasihat saya jalankanlah tanggungjawab pada negara untuk memilih wakil yang boleh diberikan tanggungjawab,” katanya semasa turun padang dan bersarapan bersama penduduk di Kampung Limau Kasturi, di sini semalam. – UTUSAN










