Shamsul Azri Abu Bakar dilantik KSN baharu

Shamsul Azri Abu Bakar dilantik KSN baharu

SHAMSUL AZRI ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dilantik Ketua Setiausaha Negara (KSN) baharu berkuat kuasa 12 Ogos ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan itu telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong bagi menggantikan Tan Sri Mohd. Zuki Ali yang akan tamat kontrak pada 10 Ogos ini.

Katanya, Shamsul Azri, 55, bekas Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat.

“Beliau juga menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya University of Cambridge, United Kingdom dan European Institute of Business Administration (INSEAD).

“Beliau mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam per­khidmatan awam, pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd. Zuki atas segala khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara.

Ini khususnya dalam usaha-usaha mengukuhkan sistem pe­nyampaian perkhidmatan awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan dengan jayanya.

Mohd. Zuki dilantik sebagai KSN pada 31 Disember 2019 dan beliau menjawat semula jawatan itu secara kontrak untuk tempoh dua tahun mulai 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan untuk memberikan tugas lain kepada Mohd. Zuki selepas persaraannya dalam per­khidmatan awam.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut apakah tugas lain yang akan diberikan bagi membantu kerajaan dalam menjayakan agenda Malaysia Madani.

Menurut Anwar, sejak hari pertama beliau menjawat Perdana Menteri, segala nasihat dan pandangan Mohd. Zuki adalah secara konsisten yang terbaik untuk perkhidmatan awam dan negara.

Kata beliau, ini termasuk me­rujuk pandangannya dalam beberapa keputusan penting kerajaan terutama berhubung Kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Anwar pada masa sama me­nyatakan penghargaan dan rasa terhutang budi kerana walaupun Mohd. Zuki berpengalaman de­ngan beberapa Perdana Menteri sebelum ini, tetapi tetap menjalankan khidmat benar-benar profesional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN