Shahrol adalah `sarung tangan' Jho Low - peguam

Shahrol adalah `sarung tangan’ Jho Low – peguam

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Teori yang mengatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah ‘cerminan’ kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho adalah satu konsep perundangan yang belum pernah wujud.

Sebaliknya, berdasarkan keterangan dan bukti yang telah dikemukakan pada perbicaraan yang selama 235 hari di Mahkamah Tinggi di sini jelas menunjukkan bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang sebenarnya bersekongkol dengan Jho Low.

“Pada ketika ini, kami menghujahkan bahawa teori cerminan (mirror image theory) yang menunjukkan bahawa tindakan Jho Low perlu dianggap sebagai tindakan yang `dipersetujui’ oleh Najib adalah satu teori tanpa sebarang bukti yang kredibel.

“Perbicaraan ini dijalankan dengan pelbagai andaian, kenyataan khabar angin, alasan yang salah dan bukti lain yang tidak boleh diterima dengan tujuan semata-mata untuk mengaitkan kesalahan kepada Najib sambil melindungi saksi pendakwaan daripada sebarang kesalahan yang dilakukan supaya kredibiliti mereka di mahkamah terjaga,” ujar peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.

Selain itu, peguam terbabit menyatakan tiada bukti atau keterangan yang menunjukkan bahawa Najib mempunyai niat (mens rea) untuk menyeleweng dana milik 1MDB.

“Perlu diingatkan bahawa pengambilalihan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) merupakan cadangan Shahrol kepada Najib. Pengambilalihan TIA oleh Kerajaan Malaysia dibuat atas permintaan pihak berkepentingan TIA termasuk Yang di-Pertuan Agong (Sultan Mizan ketika itu), bukannya atas arahan Najib.

“Pengganti `stakeholder’ dalam TIA juga dicadangkan oleh Shahrol. Telah ditunjukkan berulangkali bahawa segala tindakan yang diambil oleh Sharol adalah seiring dengan kehendak Jho Low dan bukannya demi kepentingan Najib.

“Shahrol sering menjalankan tugasnya demi kesetiaannya kepada Jho Low dan bukannya disebabkan takut atau terpaksa kerana Najib. Justifikasi yang diberikan Sharol (ketika memberi keterangan) ialah beliau melakukan perkara yang dilakukan bagi memastikan pekerjaannya selamat. Tetapi satu perkara yang perlu diberi perhatian mengenai Shahrol ialah jangan dengar apa yang beliau cakap tetapi lihat apa yang beliau buat,” kata peguam itu.

Tambahnya, tanpa bukti yang menunjukkan niat Najib untuk melakukan kesalahan maka bekas Presiden UMNO itu tidak boleh dikatakan telah menyalahgunakan kedudukannya.

Terdahulu, Wan Azwan Aiman menghujahkan, idea untuk mengambil alih TIA tidak datang daripada Najib malah bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak bersungguh dalam berbuat demikian.

“Melihat kepada keterangan sebelum ini, adalah jelas Kerajaan Persekutuan telah diheret ke dalam konflik yang berlaku dalam TIA dan pemegang amanah Menteri Besar Terengganu Diperbadankan (MBTI), Kerajaan Persekutuan terpaksa masuk campur bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

“Situasi itu telah memaksa Najib memasuki fasa kawalan kerosakan (damage control). Sekiranya Najib benar-benar mempunyai kepentingan peribadi dalam mengambilalih TIA, tiada apa yang boleh menghalangnya untuk mengambil tindakan yang membolehkan Kerajaan Persekutuan mengawal TIA. 

“Sebaliknya, Najib memaklumkan kepada Kabinet (yang mana) Kementerian Kewangan memilih untuk mengekalkan pegangan MBTI dalam TIA dengan jaminan kerajaan,” kata peguam itu.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Hujahan bersambung 2 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN