KUALA LUMPUR: ‘Saya tak boleh komen, semua orang ada hak untuk failkan saman.”
Itu respon Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa ketika diminta mengulas berhubung saman yang difailkan ke atas dirinya dan beberapa pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) lain.
“Saya antara yang disaman, semua orang ada hak untuk failkan saman atau apa-apa tuntutan di mahkamah.
“Saya tidak boleh komen (lanjut) pasal ini (saman), saya pun tak terima lagi writ saman itu jadi kita tunggu,” katanya selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, semalam.
Media semalam melaporkan, bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Datuk Mat Zaki Md Zain bersama tiga anggota pasukan keselamatan itu memfailkan writ saman keseluruhan berjumlah RM100 juta terhadap PDRM dan 10 defendan lain.
Selain Mat Zaki, tiga anggota yang sebelum ini bertugas di unit perisikan itu turut bertindak selaku plaintif ialah Fabian Anak Rungan, Dennis Anak Enit dan Mohd Azlan Sakaran.
Dalam writ saman itu, semua defendan dalam tempoh 21 hari dari tarikh penyerahan diperintah supaya memasukkan Memorandum Kehadiran.
Sementara itu, Mat Zaki ketika dihubungi berkata, tindakan itu diambil demi mengembalikan maruah, nama baik serta reputasi mereka yang terjejas teruk sehingga ke hari ini.
Beliau berkata, tuduhan dan tangkapan salah yang dibuat tanpa bukti juga menjejaskan reputasinya dalam komuniti perisikan Malaysia, Filipina dan Indonesia berdasarkan jaringan kerja yang baik dalam menjaga keselamatan perairan tiga buah negara dari ancaman pengganas rentas sempadan. – UTUSAN










