SHAH ALAM: Kakak Allahyarham Nidza Afham, Irfahanie meluahkan harapan agar menerima keputusan terbaik hasil bedah siasat ke atas mayat adiknya.
Irfahanie, yang kini masih menanti keputusan di Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam hari ini memaklumkan buat masa ini belum menerima sebarang perkembangan terkini mengenai hasil bedah siasat tersebut.
“Kami harap yang baik-baik sahaja, tak tahu bagaimana keadaan sebenar jenazah.
“Berlaku kecederaan atau tidak, kami tak tahu. Tapi saya harap yang baik-baik sahaja, dan semoga jenazah tidak terseksa,” katanya.
Sementara itu, abang ipar Allahyarham, Muhammad Affrie Amron memaklumkan dia antara individu yang terlibat dalam melakukan pengecaman mayat di lokasi penemuan semalam.
“Saya ada di lokasi (Sungai Klang) ketika membuat pengecaman sekitar pukul 8 malam semalam.
“Saya yakin itu Nidza berdasarkan wajah dan pakaiannya.
“Tubuh arwah sedikit menggelebung kerana beberapa jam berada dalam sungai,” katanya yang gagal menahan sebak.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada semalam mengesahkan mayat seorang lelaki yang ditemui di sekitar jambatan Sungai Klang adalah Nidza, yang dilaporkan hilang selepas keluar bersenam di Stadium Sulaiman, dekat sini dua hari lepas. – UTUSAN










