Sembilan pemandu kenderaan perdagangan positif dadah - Utusan Malaysia

Sembilan pemandu kenderaan perdagangan positif dadah

OPERASI Khas Kenderaan Perdagangan yang dijalankan pihak berkuasa di RTC Perak di Gopeng hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Seramai sembilan pemandu kenderaan perdagangan ditahan selepas didapati positif dadah dalam tempoh 13 hari Operasi Khas Kenderaan Perdagangan bermula 1 Ogos lalu.

Kesemua pemandu berusia 24 hingga 45 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine setelah menjalani ujian saringan air kencing oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, dalam operasi itu, sebanyak 20,358 kenderaan telah diperiksa dengan 6,247 buah membabitkan kenderaan perdagangan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 581 kenderaan perdagangan diambil tindakan, tiga kenderaan disita dan 1,524 notis dikeluarkan.

“Sepanjang operasi dijalankan, kita mengesan tiga kesalahan serius di mana terdapat sebuah lori yang ditahan untuk pemeriksaan merupakan kenderaan yang telah disita Rabu lalu.

“Lori itu mempunyai tujuh kesalahan termasuk pemandu tiada lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan barangan (GDL), lesen kenderaan motor (LKM) atau ‘roadtax’ tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan perakuan Puspakom tamat tempoh,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi yang dijalankan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di Gopeng, di sini hari ini.

Menurutnya, kesalahan lain yang dikesan membabitkan sebuah bas sekolah yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan perdagangan lain selain sebuah lori membawa muatan bahaya iaitu kayu penyendal.

“Kita ada beberapa kes kayu penyendal tidak diletakkan dengan sempurna dan jatuh di atas jalan hingga menyebabkan kematian seperti kes di Tapah pada 2013.

“Kayu penyendal ini sepatutnya diletakkan di tempat khas dan diikat dengan kuat kerana jika jatuh ia akan mengakibatkan kemalangan hingga boleh menyebabkan kecederaan dan maut,” ujar beliau.

Mengulas lanjut beliau berkata, antara kesalahan tertinggi yang dikesan dalam operasi itu termasuk tiada CDL, cukai jalan tamat tempoh, tiada insurans serta kesalahan teknikal seperti ubah suai kenderaan, tayar dan cermin gelap.

Katanya, operasi khas itu diadakan sehingga 31 Ogos depan dan turut disertai pihak polis, AADK, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Malaysia berhad (PLUS) dan Puspakom.

“Operasi ini memberi tumpuan kepada kesalahan teknikal, kesalahan lalu lintas dan kesalahan-kesalahan utama yang dilakukan kenderaan perkhidmatan barangan dan perkhidmatan awam,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN