Semangat juang rakyat Palestin tetap tinggi

Semangat juang rakyat Palestin tetap tinggi

Penduduk Palestin menyempurnakan solat jenazah terhadap mangsa pengeboman Israel di Perkuburan al-Zawaida di Gaza, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semangat juang rakyat Palestin tetap tinggi walaupun mereka dikejutkan dengan insiden pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh kerana sedar penentangan adalah satu-satunya jalan untuk mendapatkan kembali hak mereka.

Bagi mereka, rejim Zionis tidak akan menyerahkan hak kemanusiaan itu dengan semudah disangka, malah mereka semakin bertindak ekstremis dan kejam.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, keadaan di Gaza ketika ini menunjukkan pembunuhan pemimpin itu tidak menghentikan perjuangan menuju kebebasan, sebaliknya, ia menambah kekuatan, tekad, dan keazaman untuk mencapai matlamat.

Menurutnya, sebagai contoh, pembunuhan pemimpin kanan Hamas iaitu Sheikh Imam Ahmed Yassin dan Abdel Aziz al-Rantisi pada 2004 telah menjadi dorongan kepada Hamas, menyaksikan sokongan rakyat Palestin lebih besar dalam menentang kekejaman Zionis.

“Rakyat Palestin telah menderita akibat penjajahan selama 76 tahun, tetapi mereka tetap teguh dan kukuh di tanah mereka dan terus berusaha untuk mengakhiri penjajahan tersebut.

“Insiden pembunuhan Ismail Haniyeh oleh rejim Zionis merupakan satu kerugian besar bagi Hamas dan perjuangan rakyat Palestin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sharif berkata, Ismail Haniyeh adalah seorang pemimpin yang disayangi oleh rakyat Palestin dan umat Islam kerana kerjaya dan sejarah yang penuh dengan pengorbanan untuk rakyat dan negaranya.

Katanya, Ismail pernah dipenjarakan, diasingkan ke Marj al-Zuhur di Lubnan, rumahnya dirobohkan beberapa kali dan cubaan membunuhnya berlaku beberapa kali sebelum ini, namun beliau terselamat.

“Dalam perang ini, Israel membunuh anak-anak dan cucunya pada Hari Raya Aidilfitri, namun beliau tetap tabah dan berazam untuk meneruskan perjalanan jihad dan pengorbanan demi membebaskan bumi Palestin.

“Pembunuhan syahid Ismail Haniyeh berlaku serentak dengan Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat, yang terus menjalankan perang pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin serta mengorbankan lebih daripada 40,000 syahid dan mencederakan kira-kira 100,000 orang, serta memusnahkan sepenuhnya Semenanjung Gaza termasuk hospital, sekolah, dan universiti,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Sharif berkata, khemah-khemah pelarian turut dibom selain sekatan yang tidak adil dikenakan ke atas Gaza termasuk menghalang kemasukan air, elektrik dan bekalan perubatan memburukkan lagi keadaan di Gaza.

“Malangnya, semua jenayah ini berlaku di tengah-tengah ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, negara Islam dan negara Arab untuk menghentikan pencerobohan dan peperangan ini.

“Keadaan ini menjadikan rakyat Palestin mudah menjadi mangsa kekejaman Zionis yang belum pernah terjadi dalam sejarah.

“Rakyat dibunuh dan kehidupan mereka dimusnahkan secara sistematik dalam siaran langsung di hadapan mata dunia, sementara dunia berdiam diri, tidak bertindak atau mengambil pendirian tegas untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN