KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes penyeludupan dadah menggunakan dron ke dalam penjara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, siasatan akan ditumpukan sama ada kegiatan itu turut melibatkan individu-individu tertentu.
“Sindiket ini cuba untuk kaburkan mata pihak polis dengan menggunakan dron masukkan dadah ke dalam penjara.
“Kita akan siasat, sama ada berlaku salah laku membabitkan pihak atau individu tertentu, semua kita akan siasat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, JSJN telah mengesan sebanyak tujuh kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron ke penjara di lima negeri iaitu Kedah, Perak, Melaka, Kelantan dan Sarawak pada tahun ini.
Dadah yang cuba diseludup jenis ganja, heroin, syabu, pil yaba dan ketamin. Ia membabitkan rampasan dadah dengan jumlah secara keseluruhan sebanyak 544.02 gram (g).
Dadah paling tinggi yang cuba diseludup iaitu heroin seberat 290.35g diikuti syabu (124.26 g); ganja (114.03 g); pil yaba (99.9 g) dan ketamin (4.33 g). – UTUSAN










