Selesaikan segera kekurangan kakitangan di fasiliti kesihatan kerajaan - CUEPACS

Selesaikan segera kekurangan kakitangan di fasiliti kesihatan kerajaan – CUEPACS

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyelesaikan segera masalah kekurangan petugas kesihatan di fasiliti kerajaan.

 

Ini susulan, isu penetapan cuti bersalin selama hanya 60 hari di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat berikutan kekurangan pegawai perubatan di fasiliti kesihatan daerah itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

 

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, keputusan untuk menghadkan cuti bersalin hanya 60 hari tidak seharusnya berlaku sekiranya perkara itu diberi perhatian sewajarnya di peringkat awal.

 

Beliau menegaskan, perkara itu tidak menyalahi peraturan sedia ada dari segi undang-undang namun dari sudut kebajikan sebenarnya menidakkan hak pekerja terbabit.

 

“Walaupun Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) memberi jaminan untuk mempertimbang sebarang permohonan mendapatkan cuti bersalin tambahan secara bersendiri tetapi ia menimbulkan kebimbangan wujudnya elemen pemaksaan terhadap pegawai awam terbabit.

 

“Ini kerana kelulusan itu adalah tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan dan pertimbangan ketua jabatan yang bersifat subjektif.

 

“Usaha untuk mempercepat pengisian kekosongan jawatan perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan petugas kesihatan tidak dikerah bertugas lebih masa demi menampung kekurangan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Adnan berkata, pihaknya tidak mahu isu kebajikan petugas kesihatan diabaikan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa.

 

“Mereka ini tetap manusia yang memerlukan rehat mencukupi, melakukan aktiviti sosial yang sihat dan mempunyai keluarga yang perlu diberi perhatian juga.

 

“CUEPACS berharap KKM dapat memperkukuh lagi mobilisasi sumber tenaga petugas kesihatan supaya tidak berlaku kekurangan petugas yang sangat kritikal di sesuatu lokasi.

 

“Kita pernah menghadapi situasi penularan COVID-19 sebelum ini, yang hampir melumpuhkan sepenuhnya fasiliti kesihatan negara dan pengalaman itu sewajarnya menjadi pengajaran kepada kerajaan memperkukuh lagi mobilisasi sumber tenaga petugas kesihatan di pelbagai peringkat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN