LOS ANGELES: Penyanyi, Jessica Simpson menempelak seorang netizen yang menuduhnya mabuk ketika menulis ucapan sambutan hari jadi anaknya, Ace, yang ke-11 di media sosial baru-baru ini.
Jessica, menerusi tulisan balas terhadap komen individu berkenaan di Instagram menjelaskan dia kini bebas daripada pengaruh alkohol dan telah lama tidak menyentuh minuman keras.
“Saya tinggalkan minuman keras sejak tahun 2017 dan itu merupakan keputusan terbaik untuk kebaikan diri saya dan keluarga.
“Terima kasih atas keprihatinan anda. Tetapi anda telah bersalah sangka terhadap saya. Apa pun doa yang baik untuk anda,” tulisnya.
Jessica baru-baru ini mencuri perhatian menerusi komen balasnya terhadap tuduhan yang dilemparkan pengguna akaun Instagram, nunyabusiness1492.
Individu terbabit yang meninggalkan komen pada gambar anak penyanyi itu di aplikasi berkenaan meminta Jessica agar berhenti minum arak.
Tindakan individu terbabit menuai kecaman pengikut penyanyi itu yang mempersoalkan tuduhan yang dibuat pelaku.
“Apa masalah anda?” tulis seorang pengguna IG.
“Jaga tepi kain sendiri,” tulis seorang lagi netizen.










