Sanggup berdepan hukuman mati demi RM500

Sanggup berdepan hukuman mati demi RM500

LOKASI seorang penganggur ditahan ketika cuba membawa masuk dadah jenis ganja ke negara ini di Jalan Padang Besar, Perlis, pada Ahad lalu. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Demi mendapatkan upah RM500, seorang penganggur sanggup mengambil risiko jika terpaksa berdepan hukuman mati apabila cuba membawa masuk dadah ke sempadan negara.

Kegiatan lelaki tempatan berusia 32 tahun itu dihidu pihak berkuasa menerusi penahanan oleh  anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Jalan Padang Besar di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, sewaktu penahanan, suspek sedang duduk di atas motosikal jenis Yamaha LC135 di hadapan sebuah kedai insurans di sekitar kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan plastik bertangkai di tangan kirinya. Semakan lanjut menemukan tiga bungkusan lutsinar diikat dipercayai dadah jenis ganja dengan berat keseluruhan 2.85 kilogram,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shokri berkata, siasatan awal mendapati suspek mengambil upah daripada seorang lelaki warganegara jiran sebanyak RM500 bagi membawa masuk dadah ke negara ini.

Beliau berkata, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Ujian saringan awal menunjukkan dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd. Shokri berkata, nilai rampasan keseluruhan dadah adalah RM9,300 dan boleh digunakan oleh 2,850 penagih.

Tambahnya, suspek juga direman selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN