SAM gesa tindakan menyeluruh pastikan kejadian lubang benam tak berulang

SAM gesa tindakan menyeluruh pastikan kejadian lubang benam tak berulang

R. MEENAKSHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa tindakan yang lebih menyeluruh diambil bagi memastikan keselamatan awam terjamin khususnya ketika berlaku sebarang bencana seperti kejadian lubang benam, baru-baru ini.

Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, kejadian lubang benam itu bukan sahaja berlaku di Jalan Masjid India, tetapi, ia juga boleh terjadi di semua kawasan berisiko tinggi di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, beliau menyokong saranan sesetengah pihak agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan peta bawah tanah bandar selain membuat pendedahan awam mengenai langkah-langkah mitigasi dan keselamatan yang sedang diambil.

Katanya, ini bagi mengelakkan lebih banyak tragedi lubang benam daripada berlaku selepas satu lagi lubang benam dilaporkan ‘muncul’ di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur hari ini.

”Situasi ini (kejadian lubang benam) sememangnya membimbangkan khususnya dari segi keselamatan awam di kawasan tersebut serta di (beberapa) bahagian lain Kuala Lumpur.

”Ini kerana kawasan tersebut bukan sahaja terdedah kepada lubang benam dan penurunan tanah, tetapi juga terdedah kepada banjir kilat, tanah runtuh, dan kegagalan cerun akibat musim hujan lebat pada masa ini,” katanya di sini, hari ini.

Isu kebimbangan berhubung kejadian lubang benam atau mendapan tanah di Kuala Lumpur kini menjadi topik perbincangan hangat berikutan kejadian yang melibatkan seorang pelancong India di Jalan Masjid India baru-baru ini.

Selepas enam hari kejadian itu berlaku, mangsa iaitu seorang wanita berusia 48 tahun yang terjatuh ke dalam lubang benam sedalam lapan meter itu masih gagal ditemukan sehingga kini.

Dalam pada itu, Meenakshi berharap agar pihak DBKL mempertingkatkan keselamatan awam di kawasan terlibat dengan menubuhkan jawatankuasa antara agensi yang diselaraskan oleh Datuk Bandar DBKL bagi memantau serta memeriksa kawasan berisiko tinggi.

“Pada masa yang sama, DBKl juga harus memberitahu orang ramai mengenai langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan impak bencana.

”Mereka juga perlu memasang papan tanda dan penghadang yang lebih baik di tempat-tempat berisiko tinggi supaya orang awam lebih berjaga-jaga dan diberi amaran secukupnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN