SHAH ALAM: Rundingan khas dua bulan antara Malaysia dan kerajaan Mesir berhasil merealisasikan usaha membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.
Proses rundingan terperinci itu turut melibatkan Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, misi itu dilaksanakan atas rasa kemanusiaan dan kebersamaan Malaysia dengan menyediakan bantuan perubatan kepada warga Palestin yang cedera akibat konflik di negara berkenaan.
Jelas beliau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaturgerak dua pesawat ke Kaherah, Mesir kelmarin dan usaha itu tidak diuar-uarkan kerana tidak mahu rundingan terjejas.
“Kita berunding selama dua bulan dengan kerajaan Mesir dan akhirnya menjadi negara kelima yang menerima pesakit Palestin.
“Rakyat negara itu yang dibawa ke Malaysia menjalani proses tapisan ketat bagi memastikan mereka boleh melalui tempoh penerbangan yang panjang,” katanya selepas menyambut ketibaan rakyat Palestin itu di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, petang ini.
Turut hadir, Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfiq Said Nasr dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Terdahulu, seramai 127 pesakit dan waris rakyat negara itu tiba dengan menaiki dua pesawat A-400M yang selamat mendarat, kira-kira pukul 2.15 petang.
Menurut Mohamed Khaled, kesemua warga Palestin itu meliputi 41 pesakit yang akan mendapatkan rawatan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.
“Mereka terdiri daripada 20 lelaki dan 21 wanita berusia antara lapan bulan sehingga 62 tahun.
“Rawatan yang diberikan kepada pesakit termasuk patah dan kehilangan anggota badan terutama kaki dan tangan, luka parah di kepala, kecederaan mata dan lain-lain penyakit,” ujarnya.
Tambah beliau, pesakit itu akan saring di hospital medan di Pangkalan TUDM Subang sebelum dibawa ke HAT Tuanku Mizan bagi menerima rawatan lanjut.
“Sebanyak 26 ambulans akan membawa pesakit itu dan tiga wad khas di HAT digunakan bagi menempatkan mereka.
“Seramai 86 waris pesakit pula akan ditempatkan di lokasi transit disediakan oleh Kementerian Pertahanan,” ujarnya. – UTUSAN










