RM2.72j rugi tertipu suara mirip kenalan minta pinjam duit RM2.72j rugi tertipu suara mirip kenalan minta pinjam duit

RM2.72j rugi tertipu suara mirip kenalan minta pinjam duit

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Taktik penipuan `deepfake’ atau menggunakan suara mirip kenalan mangsa semakin berleluasa dengan tahun ini direkodkan sebanyak  454 kes dengan kerugian RM2.72 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes-kes  penyamaran suara sebagai rakan mangsa biasanya membabitkan penjenayah meminta untuk meminjam wang kerana mendakwa berada dalam susah atau kecemasan.

Menurut beliau, modus operandinya ialah melalui panggilan terus atau menghantar WhatsApps kepada mangsa sebelum wang yang diminta dipindahkan ke akaun keldai.

“Berdasarkan rekod, sejak Januari 2024 sejumlah 454 kes sebegini melibatkan kerugian mencecah RM2.72 juta disiasat.

“Mangsa akan diminta untuk membuat pindahan wang ke akaun tertentu yang sebenarnya merupakan akaun keldai,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.

Menurut beliau, antara kes tersebut ialah membabitkan seorang mangsa berusia 63 tahun di Kuala Terengganu yang kerugian RM49, 800 pada 23 Ogos lalu. 

“Dalam kes ini mangsa yang bekerja sebagai ejen pelancongan itu  ditipu apabila dihubungi nombor tidak dikenali yang kemudian mendakwa sebagai kenalannya.

“Ekoran suara pemanggil mirip suara kenalannnya, mangsa  bersetuju memberikan pinjaman sebanyak RM49,800 dan jumlah tersebut dipindahkan ke akaun yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan teknologi ‘deepfake’ telah digunakan dalam kes tersebut  bagi meniru suara kenalan mangsa dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan.

Katanya, terdapat dua lagi laporan polis diterima pada 23 Ogos lalu di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang membabitkan modus operandi sama dan membabitkan kerugian RM3,000 dan RM4,800 setiap kes.

Oleh itu, Ramli menasihatkan  masyarakat berhati-hati dengan taktik penipuan `deepfake’ yang berleluasa ketika ini daripada menjadi mangsa penipuan ini.

“Jangan percaya apa yang dipaparkan, jangan percaya apa yang kita dengar, lakukan semakan dengan menghubingi kenalan anda menggunakan nombor yang disimpan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN