JERANTUT: Seramai 20 peneroka Felda Jengka 24 di sini bergotong-royong menghasilkan replika rumah Felda daripada buluh dihiasi Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan tahun ini.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, peneroka dari dua dua tanah rancangan berkenaan mengambil masa tiga hari menyiapkan replika rumah itu.
“Replika rumah ini mengimbau kembali zaman dahulu dan mengingatkan kita betapa sukarnya generasi terdahulu membangunkan tanah rancangan ini.
“Ia bukan sekadar hiasan namun mempunyai banyak kenangan dan pengajaran yang harus menjadi iktibar kepada golongan muda.
“Selain itu, ia bertujuan memberi peringatan kepada anak-anak betapa perlunya menyambut hari merdeka kerana ada pengorbanan orang-orang terdahulu demi memerdekakan tanah air tercinta ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Razak berkata, melihat replika rumah berkenaan, dia terbayang ketika mula menyertai tanah rancangan dengan keadaan jalan bertanah merah, tiada kemudahan elektrik, malah sungai menjadi sumber air dalam kehidupan seharian.
“Kita mahu generasi muda bersyukur dengan apa yang mereka sedang nikmati hari ini termasuk nikmat kemerdekaan yang sudah pun dikecapi negara selama 67 tahun.
“Replika ini akan kekal di sini supaya ia dapat dilihat dan dinilai oleh generasi muda khususnya di Felda Jengka 24 tentang rumah peneroka dulu dan kini,” katanya.
Beliau berkata, selain rumah Felda, kira-kira 300 penduduk di tanah rancangan itu bergotong-royong menghasilkan replika wau, keris, kereta kebal dan menara Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) sempena sambutan kemerdekaan kali ini.
“Penduduk turut bergotong-royong menghasilkan Jalur Gemilang sepanjang 300 meter dan memasang lebih 15,000 bendera sejak awal bulan ini bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan,” katanya. – UTUSAN










