Replika bangunan Parlimen guna bekas telur

Replika bangunan Parlimen guna bekas telur

NASRUNA Rahmat (kanan) bersama rakannya, M. Saraswathy menghias rekaan replika Bangunan Parlimen yang menggunaan bekas telur ketika ditemui di kawasan R&R Seremban Arah Utara semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bukan hanya dengan memasang Jalur Gemilang, pelbagai idea kreatif turut ditampilkan orang ramai bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Tidak ketinggalan ialah pihak rakan niaga PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di kawasan rehat dan ra­wat (R&R) Seremban Arah Utara di sini, yang tampil menghias premis tersebut dengan menghasilkan beberapa replika bangunan terkenal dalam negara.

Ia termasuk replika bangunan Parlimen, menggunakan barangan kitar semula dan terpakai seperti bekas telur.

Menurut Penghulu R&R Seremban Arah Utara, Nasruna Rahmat, 49, rekaan replika tersebut dihasilkannya bersama rakan peniaga lain bagi menceriakan lagi premis R&R tersebut dalam Bulan Kebangsaan kali ini.

“Ia bukan hanya untuk kami menyertai Pertandingan Hiasan Merdeka yang dianjurkan oleh pihak PLUS tetapi juga untuk menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

“Kami menghasilkan replika Bangunan Parlimen kerana ba­ngunan yang terletak di ibu negara itu merupakan simbol demokrasi berparlimen serta simbol perpa­duan Kerajaan Persekutuan.

“Kira-kira 50 bekas telur digunakan yang kami peroleh dari rakan-rakan peniaga di sini juga, kosnya juga rendah malah unik dan pengunaannya kami lihat sesuai dengan rekaan bangunan Parlimen yang asal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Nasruna menambah, hiasan replika tersebut akan ditambah baik termasuk dengan menyediakan poster penerangan mengenai Bangunan Parlimen itu.

“Kawasan R&R Seremban Arah Utara ini memang menjadi tumpuan, ramai pengguna lebuh raya terutama dari selatan akan singgah di sini jadi ini sedikit sebanyak usaha kami untuk menaikkan semangat kemerdekaan masing-masing selain memberikan pengetahuan terutama kepada kanak-kanak mengenai bangunan Parlimen ini.

“Ia memang menjadi aktiviti tahunan kami di sini setiap kali tiba Bulan Kebangsaan, tahun lepas kami tampil dengan pameran rekaan busana tradisional dan tetap menggunakan barangan terpakai,” katanya yang turut memberitahu pihaknya juga akan menghasilkan replikasi bangunan Berkembar Petronas menggunakan botol minuman kitar semula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN