ALOR SETAR: Tempoh reman lelaki Rohingya yang disyaki membunuh isteri dan dua anaknya di sebuah bangunan terbiar di Pekan Simpang Kuala, Jalan Sultan Abdul Halim, di sini disambung tujuh hari hingga 2 September depan.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 43 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd. Hamzah di Kompleks Mahkamah Alor Setar, hari ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan penahanan suspek di sebuah masjid di Bukit Pinang, di sini setelah dia berjalan kaki sejauh kira-kira 17 kilometer dari lokasi kejadian sebaik membunuh tiga ahli keluarganya pada 19 Ogos lalu.
Sebelum itu, dia dipercayai mengelar leher isterinya yang berusia 34 tahun dan dua anaknya masing-masing perempuan berusia 10 tahun dan lelaki berumur dua tahun menggunakan sebilah parang berukuran kira-kira 45 sentimeter (cm).
Berdasarkan siasatan awal polis, suspek disyaki bertindak kejam kerana menghadapi tekanan emosi disebabkan mereka lima beranak hidup daif dan gelandangan.
Suspek bagaimanapun tidak mengapa-apakan seorang lagi anak lelakinya berusia lima tahun yang turut dibawa ke masjid tersebut.
Saringan awal air kencing terhadap suspek yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mendapati, dia positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan mop. -UTUSAN










