Puteri UMNO perlu berani suarakan pandangan - Ketua Puteri UMNO

Puteri UMNO perlu berani suarakan pandangan – Ketua Puteri UMNO

NURUL AMAL MOHD. FAUZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Puteri UMNO digesa lebih berani menyampai suara dan pandangan mereka walaupun sekadar dianggap penyeri parti.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, ahli Puteri UMNO perlu lebih berani mengekspresi diri namun tidak perlu radikal.

“Tidak perlu terlalu radikal, namun harus tegas dan bijak berkomunikasi menyatakan pendirian dan pendapat sendiri. Bagi orang luar, kita hanyalah sekadar penyeri parti. Jadi, buktikan dan jadikan ia ubat supaya semangat kita lebih kuat. Tiada sayap wanita muda parti lain, seteguh sayap Puteri UMNO,” katanya pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Mengulas lanjut, Nurul Amal berkata, suara Puteri UMNO terbukti masih lagi relevan apabila menyampaikan isu melibatkan wanita kepada kerajaan.

“Kita parti yang matang, yang terbukti mampu berjuang. Setiap halangan dan cabaran, kita jadikan batu loncatan untuk menjadi lebih baik setiap hari. 

“Dalam persidangan tahun lalu, Puteri UMNO telah membentangkan dan memberi penekanan kepada beberapa isu yang menjadi perhatian kita sebagai pemimpin wanita muda.

“Ada beberapa isu yang telah kita utarakan mendapat seruan baik daripada kerajaan. Usaha ini adalah tanda keprihatinan dan membuktikan, bahawa suara dan pendapat Puteri UMNO adalah berasas dan relevan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×