KUALA LUMPUR: Puteri UMNO mengangkat tiga teras utama bagi mengembalikan sokongan, dan dokongan orang Melayu serta bumiputera kepada UMNO.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, tiga teras itu melibatkan Agama, Pendidikan, dan Ekonomi yang menjadi akar kepada perjuangan parti.
“Teras yang pertama adalah Agama. Puteri UMNO melihat Majlis Ulama ini sebagai satu badan penting dan bukan berfungsi untuk isu-isu tertentu sahaja. Sudah tiba masanya, Majlis Ulama UMNO berperanan sebagai badan yang terkehadapan dalam isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam di Malaysia.
“Teras pendidikan pula memperkasa pendidikan sekali gus perkasa generasi. UMNO sentiasa berdedikasi dalam memastikan hak pendidikan orang Melayu dan bumiputera terus terjaga. Kita sedar akan kepentingan pendidikan dalam membangunkan bangsa yang berjaya.
“Justeru, Puteri UMNO sepakat dengan pendirian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir agar Dasar Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk pelajar Melayu, Orang Asli dan anak Sabah serta Sarawak seperti yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, dikekalkan oleh kerajaan,” katanya pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Tambah Nurul Amal, pendidikan mampu mengubah kehidupan, dan menjadi pemangkin untuk keluar daripada kepompong kejahilan dan kemiskinan, serta memerdekakan jiwa dan minda.
Mengulas lanjut beliau berkata, teras Ekonomi pula menerusi Dasar Ekonomi Bumiputera (DEB) yang digagaskan oleh Tun Razak dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1990) menjadi lonjakan awal kepada peningkatan sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera.
“Walaupun ada pihak yang mempertikaikan keberkesanan dan pencapaian DEB, namun, asasnya jelas untuk memastikan sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera dapat ditingkatkan, seiring dengan kaum lain di Malaysia.
“Masih relevan atau tidak DEB ini, bukanlah isunya. Apa yang diharapkan adalah, kerajaan tidak meminggir dan mengetepikan peluang dan ruang bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










